oum logo

Home >> FAQs (Finance) >> FAQs


Permohonan

Soalan 1:
Saya telah mendaftar sebagai pelajar Open University Malaysia, bolehkan saya memohon pinjaman PTPTN?
Jawapan:
Anda layak memohon pinjaman PTPTN tertakluk kepada syarat dan terma pinjaman tersebut.

Soalan 2:
Saya lulus SPM tetapi tidak mempunyai 3 kepujian dan telah diterima masuk ke IPT. Bolehkah saya memohon pinjaman?
Jawapan:
Anda tidak layak memohon pinjaman. Namun demikian, kelonggaran syarat pinjaman lulus SPM akan diberikan sekiranya anda termasuk di dalam kategori pelajar berikut:
i) Pelajar lepasan Sijil Kolej Komuniti yang mendapat tawaran mengikuti pengajian ke peringkat Diploma di Politeknik dengan syarat pelajar memperolehi CGPA 3.0 ke atas di peringkat sijil; atau
ii) Pelajar lepasan Diploma Politeknik yang mendapat tawaran mengikuti pengajian ke peringkat ijazah di IPTA atau IPTS dengan syarat pelajar memperolehi CGPA 3.0 ke atas di peringkat Diploma.

Soalan 3:
Saya telah berumur 46 tahun semasa permohonan dibuat. Adakah saya layak untuk memohon pinjaman?
Jawapan:
Anda tidak layak memohon pinjaman kerana had umur maksima untuk memohon pinjaman hendaklah tidak melebihi 45 tahun dari tarikh permohonan dibuat.

Soalan 4:
Saya telah berkahwin. Adakah saya perlu mempunyai penjaga?
Jawapan:
Ya. Bagi tujuan pengisian borang permohonan pinjaman, pasangan pemohon adalah dianggap sebagai penjaga.

Soalan 5:
Adakah saya perlu mempunyai penjamin semasa membuat pemohonan pinjaman dan siapakah yang layak menjadi penjamin?
Jawapan:
Ya, anda perlu mempunyai dua (2) orang penjamin yang terdiri daripada ibu kandung dan bapa kandung sahaja tanpa mengambil kira had umur dan pendapatan. Sekiranya salah seorang atau kedua-duanya telah meninggal dunia / tidak dapat dikesan, sila sertakan salinan sijil kematian / akuan sumpah sebagai bukti.

Soalan 6:
Saya telah menamatkan pengajian peringkat Ijazah Pertama dengan mendapat pinjaman PTPTN. Sekiranya saya ingin mengikuti pengajian dalam bidang lain di peringkat diploma, bolehkah saya memohon pinjaman PTPTN?
Jawapan:
Tidak boleh. Pinjaman kali kedua hanya akan dipertimbangkan kepada pelajar-pelajar yang berjaya menamatkan pengajian dan meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Contoh : Dari peringkat diploma ke peringkat ijazah pertama.

Soalan 7:
Saya sedang belajar di semester kedua dan ingin memohon pinjaman PTPTN. Bolehkah saya mendapat pinjaman bermula semester satu?
Jawapan:
Tempoh pinjaman diluluskan berdasarkan semester semasa permohonan dibuat. Sekiranya anda memohon pada semester kedua, pinjaman akan diluluskan mulai semester kedua hingga tamat tempoh pengajian lazim anda.

Soalan 8:
Saya telah kehilangan sijil SPM. Bolehkah saya menggunakan salinan transkrip (slip) SPM untuk memohon pinjaman?
Jawapan:
Anda boleh memohon pinjaman menggunakan salinan slip SPM. Walau bagaimanapun, tempoh sahlaku slip tersebut hendaklah tidak melebihi dua (2) tahun dari tahun peperiksaan diambil.

Soalan 9:
Bagi pelajarOUM, apakah bank dan jenis akaun yang digunakan?
Jawapan:
Anda diwajibkan menggunakan akaun simpanan CIMB jenis persendirian sahaja.

Soalan 10:
Sekiranya saya telah memenuhi syarat permohonan, bagaimana caranya untuk saya memohon pinjaman PTPTN?
Jawapan:

  1. Pelajar boleh mendapatkan nombor PIN permohonan online yang boleh diperoleh dari mesin ATM atau kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan harga RM5.00. Tempoh sah laku nombor PIN adalah 6 bulan daripada tarikh permohonan kali pertama dibuat. Sila daftar permohonan online melalui laman web PTPTN (www.ptptn.gov.my)
  2. Permohonan akan dibuka sepanjang tahun dan diproses mengikut tarikh yang akan ditetapkan (15 Jan, 15 Jun, 15 Sept & 15 Okt).

 


Perjanjian

Soalan 1:
Bagaimanakah caranya untuk mengetahui status permohonan?
Jawapan:
Pemohon boleh membuat semakan terus dilaman web PTPTN dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh tutup permohonan online dibuat.

Soalan 2:
Bagaimanakah caranya untuk saya memaklumkan mengenai perubahan alamat dan butiran diri saya?
Jawapan:
Pengemaskinian maklumat butiran diri boleh dibuat melalui pengisian Borang Perubahan Maklumat yang boleh didapati di kaunter PTPTN atau di Bahagian HEP IPT masing-masing atau memuat turun borang tersebut di laman web PTPTN atau anda boleh menghantar surat rasmi ke PTPTN.

Soalan 3:
Dimanakah saya boleh mendapatkan Setem Hasil?
Jawapan:
Setem Hasil boleh diperolehi di mana-mana kaunter Pejabat Pos atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)

Soalan 4:
Bagaimanakah cara untuk saya menuntut salinan dokumen perjanjian. Saya belum lagi menerima salinan dokumen perjanjian. Berkemungkinan surat saya dikembalikan ke pejabat tuan kerana saya telah berpindah?
Jawapan:
Anda boleh menuntut dokumen berkenaan di kaunter PTPTN atau mengemukakan satu sampul Pos Ekspres bersaiz A4 dan beralamat sendiri. Sampul Pos Ekspres tersebut perlu dimasukkan ke dalam sampul yang lain dan dialamatkan kepada PTPTN untuk perhatian Unit Perjanjian.

Soalan 5:
Sebelum saya menandatangani dokumen tawaran, saya dapati terdapat perbezaan maklumat diri atau maklumat pengajian yang saya ikuti pada surat tawaran pinjaman. Bolehkah saya meminda surat tawaran tersebut?

Jawapan:

Semua maklumat yang dicetak dalam dokumen tawaran pinjaman adalah berdasarkan lorekan anda pada borang permohonan PTPTN. Sebarang pindaan tidak dibenarkan dibuat ke atas surat tawaran pinjaman. Bagi pindaan yang melibatkan maklumat diri (Nama/No KP/Alamat/No Akaun), anda hendaklah mengisi Borang Perubahan Maklumat. Manakala, bagi pindaan yang melibatkan maklumat pengajian, anda perlu menolak tawaran berkenaan dan mengemukakan semula permohonan baru.

Soalan 6:
Permohonan online telah berjaya, cetakan dokumen tawaran dan perjanjian telah dibuat melalui laman web PTPTN, kemanakan perlu saya hantar dokumen-dokumen tersebut?
Jawapan:
Dokumen tawaran yang telah dilengkapkan perlu diserahkan terus ke OUM untuk tindakan lanjut. Pihak OUM akan memaklumkan kepada pelajar tarikh tutup penghantaran dokumen dibuat melalui laman Mylms.

 

 


 

Pengeluaran Wang Pinjaman

 

Soalan 1:
Bilakah tarikh pinjaman dikeluarkan kepada pelajar pada setiap semester?

Jawapan:

Pengeluaran pembiayaan pinjaman dilakukan secara berkelompok pada setiap semester setelah mendapat pengesahan status pelajar (semester Januari dan September sahaja)

Soalan 2:
Adakah saya akan terus mendapat bayaran pinjaman sekiranya saya menangguhkan pengajian?
Jawapan:
Pembiayaan pinjaman akan diberhentikan pada semester anda menangguhkan pengajian. Sekiranya anda telah menerima pinjaman pada semester tersebut, pembiayaan pinjaman anda akan diberhentikan pada semester berikutnya.

Soalan 3:
Adakah saya layak mendapatkan semula pinjaman yang telah diberhentikan disebabkan saya memperolehi GPA di bawah 2.00?
Jawapan:
Tidak layak. Tunggakan tidak akan dibayar sekiranya pinjaman diberhentikan disebabkan GPA di bawah 2.00.

Soalan 4:
Adakah saya layak mendapatkan baki pinjaman jika berjaya menamatkan pengajian lebih awal daripada tempoh pengajian sebenar?
Jawapan:
Pinjaman akan dikeluarkan setakat tempoh anda berjaya menamatkan pengajian samada lebih awal atau mengikut tempoh pengajian lazim. Tuntutan bayaran balik pinjaman adalah berdasarkan jumlah pinjaman yang anda terima termasuk kos pentadbiran.

Soalan 5:
Bolehkah pinjaman dibayar ke akaun waris pelajar?
Jawapan:

Tidak boleh. Pengeluaran pinjaman dikreditkan terus ke akaun persendirian pelajar sahaja.

Soalan 6:

Saya telah menerima pinjaman PTPTN dan pada waktu yang sama saya juga telah menerima pinjaman daripada penaja lain. Bolehkah saya menerima kedua-dua penajaan untuk saya terus belajar?
Jawapan:
Anda perlu memilih salah satu penaja sahaja. PTPTN berhak menamatkan pinjaman anda serta merta dan membuat tuntutan daripada penaja lain.

Soalan 7:
Adakah saya layak meneruskan pinjaman sekiranya saya ingin bertukar kursus/program pengajian di IPT?
Jawapan:
Anda boleh dipertimbangkan untuk meneruskan pinjaman sekiranya pertukaran program/kursus tidak melibatkan anda mengulang semester dan telah mendapat kelulusan pertukaran kursus daripada IPT. Pelajar juga perlu mengemukakan permohonan bertulis kepada pihak Perbadanan.

 

 

 


Bayaran Balik Pinjaman

Soalan 1:
Bagaimanakah caranya untuk membayar balik pinjaman pendidikan PTPTN?
Jawapan:
Kaedah-kaedah bayaran balik pinjaman:

POSKAN BANK DERAF/KIRIMAN WANG

Bayaran Melalui bank deraf/kiriman wang hendaklah berpalang dan dibayar atas nama 'PERBADANAN TABUNG PENDIDIKAN TINGGI NASIONAL'. Sila poskan bayaran anda menggunakan sampul surat. Alamatkan surat anda kepada:

Ketua Eksekutif
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
Lot G2, Tingkat Bawah, Wisma Chase Perdana
Off Jalan Semantan, Damansara Heights
50490 Kuala Lumpur
(u.p: Unit terimaan)



*Jangan kirimkan wang tunai.
Pastikan No. Kad Pengenalan dan nama penuh anda di tulis di belakang bank deraf / kiriman wang.

BAYARAN SECARA ON-LINE

1. e-FES. Anda perlu mempunyai akaun dengan mana-mana bank yang menyertai FPX (Financial Process Exchange) dan berdaftar sebagai pengguna perkhidmatan perbankan internet bank tersebut.

Untuk mendapatkan keterangan lanjut, sila layari laman web PTPTN : e-FES bagi melihat panduan membuat bayaran balik melalui e-FES.

2. Perkhidmatan online bank-bank terpilih yang disenaraikan di bawah. Perhatian! Anda perlu mempunyai akaun bank tersebut dan mendaftar sebagai pengguna perkhidmatan online di:

Untuk keterangan lanjut, sila pergi ke bank-bank tersebut atau hubungi:
� Maybank2u.com Customer Helpdesk: 1-300-88-6688
� CIMB Service Centre: 03-2295 6100.
� Bank Islam Customer Service Hotline: 03-2698 8008/2691 3993.
� RHB Bank ibank Support: 03-9206 8228
� Public Bank Customer Support: 03-2179 5000.

BAYARAN MELALUI KAUNTER

Bayaran melalui wang tunai diterima dengan cara pergi ke:

1. Kaunter perkhidmatan PTPTN.
2. Semua cawangan Bank Islam seluruh Malaysia. Sila gunakan Borang Slip Pembayaran Bil yang boleh didapati di bank.
3. Semua cawangan CIMB seluruh Malaysia. Sila gunakan Borang Khidmat Pungutan yang boleh didapati di bank.
4. Semua cawangan Bank Simpanan Nasional seluruh Malaysia. Sila gunakan Borang Pembayaran Bil yang boleh didapati di bank. Ruangan No. Rujukan 1 hendaklah diisi dengan NO KP anda. Ruangan No. Rujukan 2 hendaklah diisi dengan No. Rujukan Pinjaman anda.
5. Semua cawangan POS Malaysia Berhad.

MAKLUMAN (Bagi Pembayaran di Kaunter Bank & Pejabat Pos)

1. No. Akaun Penerima : No. Kad Pengenalan Peminjam
2. Nama Penerima : PTPTN-PINJAMAN (No. Akaun PTPTN tidak diperlukan)
3. No. Bil/Kontrak/Rujukan : No. Rujukan Surat Tawaran/ No Telefon Anda

SEMAKAN PENYATA KIRA-KIRA (e-FES)

1. Kata Laluan : No. Kad Pengenalan Peminjam
2. No. Pin/Password : No. Pinjaman Peminjam
(Sila rujuk No. Pinjaman pada Penyata Kira-Kira)

- Setiap pembayaran yang dilakukan melalui kaunter bank atau secara online akan dikenakan caj perkhidmatan oleh pihak bank.
- Sila simpan slip pembayaran atau cetak resit bayaran untuk simpanan anda.
- Resit rasmi PTPTN hanya akan dikeluarkan sekiranya pembayaran dibuat terus kepada PTPTN.
- Pembayaran melalui cek peribadi adalah dibenarkan.

Soalan 2:
Apakah kos pentadbiran?
Jawapan:
Kos pentadbiran adalah kos yang dikenakan keatas pinjaman seperti dinyata didalam perjanjian yang ditandatangani. Kos pentadbiran akan dikira selepas 6 bulan tamat pengajian atau tamat pinjaman mana lebih awal.

Soalan 3:
Adakah pihak PTPTN akan mengeluarkan resit rasmi bagi pembayaran balik pinjaman?
Jawapan:
Pihak PTPTN hanya akan mengeluarkan resit rasmi bagi pembayaran balik yang di bayar terus kepada PTPTN seperti terus ke kaunter PTPTN, melalui pos (cek, bank deraf, kiriman wang dan wang pos) yang dibuat atas nama PTPTN. Manakala bayaran menerusi agen kutipan PTPTN seperti LHDN, Maybank (online), BCBB (online dan kaunter), Bank Islam (online dan kaunter) dan RHB (online) tidak akan dikeluarkan resit. Bayaran terus kepada LHDN (selain potongan gaji) akan dikeluarkan resit oleh pihak LHDN.

Soalan 4:
Bagaimanakah caranya untuk menyemak baki pinjaman?
Jawapan:
Baki pinjaman boleh disemak melalui e-FES di Portal PTPTN.

Soalan 5:
Bagaimanakah caranya membayar balik pinjaman menerusi potongan gaji?
Jawapan:
Sila berikan maklumat majikan anda iaitu nama, alamat dan nombor telefon kepada Bahagian Penguatkuasa dan Kutipan Balik melalui e-mel (upkb@ptptn.gov.my) atau surat rasmi. Anda akan menerima sesalinan arahan potongan gaji daripada LHDN kepada majikan. Pembayaran balik menerusi arahan potongan gaji akan mengambil masa 1-3 bulan sebelum dapat dilaksanakan oleh LHDN. Sementara itu anda boleh membuat bayaran sendiri menggunakan kaedah bayaran balik yang lain untuk mengelakkan tunggakan ansuran.

Soalan 6:
Bolehkah saya membayar balik lebih daripada jumlah ansuran asal?
Jawapan:
Bayaran balik lebih daripada ansuran asal adalah dibenarkan. Sekiranya peminjam menyelesaikan kesemua bayaran balik dengan lebih awal, rebat akan diberikan.

Soalan 7:
Bolehkah saya membayar balik kurang daripada jumlah ansuran asal?
Jawapan:
Bayaran balik kurang daripada jumlah ansuran tidak digalakkan disebabkan kos pentadbiran akan menjadi lebih tinggi kerana ia dikira berdasarkan baki pinjaman bulanan.

Soalan 8:
Perlukah saya menunggu surat arahan bayaran balik daripada pihak PTPTN sebelum memulakan bayaran balik?
Jawapan:
Bagi memulakan bayaran balik pinjaman , peminjam tidak perlu menunggu surat arahan bayaran balik daripada PTPTN. Bayaran yang dibuat dalam tempoh 6 bulan selepas tamat pengajain atau tamat pinjaman tidak akan dikenakan kos pentadbiran.

Soalan 9:
Bolehkah saya membuat bayaran balik ansuran bulanan lebih awal iaitu sebelum 6 bulan dari tarikh mula bayar?
Jawapan:
Bayaran balik lebih awal adalah digalakkan. Bayaran balik yang dibuat sebelum dari tarikh mula bayar tidak akan dikenakan kos pentadbiran. Manakala bayaran ansuran yang dibuat selepas tarikh mula bayar akan dikenakan kos pentadbiran.

Soalan 10:
Bolehkah saya membuat bayaran balik secara sekaligus @ 'lump sum'?
Jawapan:
Boleh. Bayaran secara 'lump sum' yang dibuat sebelum tarikh mula bayar tidak akan dikenakan kos pentadbiran manakala bayaran selepas dari tarikh mula bayar akan dikenakan kos pentadbiran. Jumlah rebat adalah bergantung pada tarikh bayaran 'lump sum' dibuat.

Soalan 11:
Bolehkah bayaran balik dibuat mengikut tempoh tertentu contohnya 6 bulan sekali?
Jawapan:
Bayaran balik boleh dibuat mengikut tempoh tertentu dengan syarat ianya dibuat pada bulan pertama penggal tersebut.

Muat Turun Borang

1.Borang Maklumbalas PTPTN
2.Borang Penangguhan Bayar PTPTN
3.Borang Pengesahan Pendapatan
4.Borang Perlanjutan PTPTN
5.Borang Permohonan Salinan Perjanjian
6.Borang Perubahan MAKLUMAT
7.Borang Pengesahan Tamat Pengajian
8.Borang Potongan Gaji
9.Borang Tukar Alamat
10.Surat semak Baki Pinjaman Individu
11.Surat Semak Baki Pinjaman Wakil