drkhairol news

“Terima kasih, Tuan Doktor.” Itulah ucapan ringkas diiringi dengan senyuman ikhlas yang selalu diterima oleh Dr Mohd Khairol Jambli.

Dr Khairol berkata, “Saya paling gemar membantu masyarakat di luar sana. Mereka sentiasa mengucapkan terima kasih selepas mendapat rawatan atau sumbangan yang diberikan. Kesopanan dan kata-kata ikhlas mereka ketika menyambut kedatangan kami sungguh mengharukan. Ucapan ringkas begitu cukup memberikan semangat dan motivasi buat saya untuk meneruskan kerja-kerja kebajikan.”

Anak jati kelahiran Sarawak ini mendapat ijazah Sarjana Muda Perubatan dari Universiti Kaherah di Mesir dan kini berkhidmat sebagai doktor perubatan serta setiausaha kesihatan dan keselamatan pekerja di sebuah universiti tempatan di Sarawak. Beliau juga merupakan alumni Open University Malaysia (OUM) dalam bidang Sarjana Muda Pengajian Islam (Dengan Kepujian).

Kesibukan Dr Khairol tidak hanya tertumpu kepada tugasnya sebagai doktor, malahan beliau turut aktif melakukan kerja-kerja kebajikan seperti menyertai misi-misi perubatan ke kawasan pedalaman Sarawak, memberikan bantuan keperluan harian kepada golongan yang memerlukan dan juga program berkhatan yang dipanggil “sunathon”.

“Saya mula terlibat dalam aktiviti kebajikan setelah diberi kepercayaan oleh pihak Aman Palestin Sarawak. Selepas itu saya terlibat dengan Yayasan Ikhlas untuk membantu mengkoordinasikan misi-misi perubatan dan projek-projek kebajikan mereka di Sarawak ini. Dari situlah saya mula terlibat dengan kerja-kerja amal lainnya sehingga kini,” ujar Dr Khairol.

Bapa kepada enam anak ini juga memegang jawatan sebagai Yang DiPertua (YDP) Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Kuching yang mana keutamaan pertubuhan ini adalah untuk membimbing masyarakat mengenali Islam dengan lebih baik.

Jelas Dr Khairol, “Melalui ISMA, saya banyak terlibat dalam ceramah agama, ceramah motivasi dan lain-lain kepada remaja, belia dan dewasa di masjid, program perkhemahan dan banyak lagi. Melalui ilmu agama yang saya perolehi dalam program Pengajian Islam di OUM, saya merasa lebih yakin untuk berkongsi ilmu agama dalam program ceramah yang saya sampaikan.”

“Program sarjana muda itu memberikan saya ilmu asas atau alat untuk lebih memahami dan mendalami agama Islam seperti Usul Fiqh, Ulum Quran dan lain-lain. Dengan latar belakang perubatan/sains dan mempelajari agama Islam, saya dapat gabungkan kedua-dua ilmu tersebut dan lebih mengimani kebenaran agama ini,” tambahnya lagi.

Namun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu sedikit sebanyak mengganggu aktiviti kebajikannya. Kata beliau, “Kerja kebajikan tetap kami teruskan namun kami akur dengan peraturan PKP yang telah diputuskan oleh kerajaan. Kami melakukan beberapa perubahan bagi memastikan keselamatan semua pihak yang terlibat.”

“Memang ada sedikit perubahan juga dalam aktiviti ceramah saya. Sebelum ini, pendengar saya berada di depan mata, tetapi sekarang tidak lagi. Namun begitu, saya masih sampaikan perkongsian ilmu di laman Facebook peribadi saya atau di laman Facebook ISMA Kuching.”

Apabila ditanya tentang perancangan masa depannya, Dr Khairol berhasrat untuk menyambung pengajian sarjana dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan, kemungkinan juga di OUM.

“Selain itu, saya ingin menyumbang lebih lagi kepada masyarakat sama ada melalui bidang perubatan atau melalui perkongsian ilmu kerana saya percaya sebaik-baik manusia ialah yang bermanfaat untuk orang lain seperti sabda Rasulullah S.A.W, “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia.”

News