Kekurangan Diri Bukan Penghalang Melanjutkan Pelajaran

“Saya tidak mahu kekurangan diri ini menjadi beban kepada semua orang, sebaliknya saya ingin berjaya agar dapat meringankan beban orang lain,” luah Nong Mazwan Fitri bin Nong Fakaruddin, alumni program Diploma Pengurusan, Open University Malaysia (OUM).

Mazwan, 23, yang menghidapi Osteogenesis Imperfecta atau penyakit tulang rapuh sejak kecil tidak mahu kekurangan dirinya dijadikan alasan untuk tidak menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. “Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2015, saya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti tetapi memandangkan lokasi yang agak jauh dari rumah dan tiada kemudahan kenderaan, saya terpaksa menolak tawaran tersebut,” katanya.

Beliau amat berterima kasih kepada sepupunya kerana memperkenalkan OUM, yang membolehkan ia mengikuti pengajian secara dalam talian. Ketika itu, sepupunya sedang mengikuti pengajian di Pusat Pembelajaran Bangi. “Saya amat menghargai segala keprihatinan dan bantuan yang telah diberikan oleh Staf Pusat Pembelajaran (PP) Temerloh sepanjang saya melanjutkan pelajaran. Kemudahan yang mesra orang kelainan upaya (OKU) yang disediakan di PP Temerloh adalah bonus bagi pelajar seperti saya,” katanya.

Meminati bidang sains sejak kecil, Mazwan bercita-cita meneruskan pengajian sehingga peringkat Kedoktoran. Walaupun kurang meminati bidang pengurusan, dia tidak berputus asa dan meneruskan pengajian sehingga mendapat keputusan yang cemerlang. “Pada peringkat awal, pelbagai dugaan dan cabaran yang saya hadapi kerana bidang pengurusan bukanlah bidang yang saya minati. Namun saya teruskan juga, setidaknya saya mendapat ilmu baharu untuk alam pekerjaan nanti,” katanya.

Selepas tamat pengajian Diploma Pengurusan tahun lepas, Mazwan menyambung pengajian ke peringkat Sarjana Muda dalam  bidang Psikologi, salah satu cabang sains yang beliau minati. “InsyaAllah, saya kini dalam semester dua dan akan meneruskan pengajian di PP Seremban memandangkan saya akan berpindah balik ke kampung di Seremban,” katanya. Walaupun menjadi pelajar termuda dan dikelilingi oleh pelajar-pelajar senior, dia tidak kekok menyesuaikan diri di kalangan rakan-rakan pelajar yang lain. Perbezaan umur tidak menjadi masalah, malah meningkatkan lagi semangat saya dalam berkongsi ilmu.

Bagi Mazwan, menamatkan setiap semester dengan keputusan cemerlang adalah satu rahmat baginya. “Saya selalu merujuk kepada bapa saudara yang juga seorang Pensyarah Universiti sekiranya terdapat masalah dalam pembelajaran. Selain itu, guru sekolah dan rakan-rakan yang belajar di Universiti lain juga menjadi tempat rujukan saya jika saya kurang memahami mengenai sesuatu perkara,” tambahnya yang berharap agar ijazah yang diperolehinya nanti dapat membantunya di alam pekerjaan kelak.

myOUM
MOOC