OUM BERI RM2JUTA BIASISWA KEPADA PELAJAR LAYAK

Melanjutkan pelajaran di universiti hakikatnya memakan belanja besar. Laporan sebuah akhbar tempatan pada 2017 menganggarkan kira-kira RM3,500 setahun diperlukan untuk belajar di universiti awam di Malaysia.

Yuran pengajian di institusi pengajian tinggi swasta pula mencecah purata RM10,000 hingga RM15,000 setahun. Angka ini dijangka meningkat jika mengambil kira faktor kenaikan kadar inflasi.

Untuk golongan yang memerlukan, sebarang bantuan kewangan mampu memberi manfaat besar dalam merealisasikan impian untuk melanjutkan pengajian.

Sebagai sebuah universiti yang mempunyai misi untuk mendemokrasikan pendidikan tinggi di negara ini, Open University Malaysia (OUM) turut menawarkan biasiswa kepada sesiapa yang berkeinginan.

Salah satu cara OUM menjaga kebajikan pelajar ialah dengan menawarkan biasiswa kepada individu berkelayakan yang mendaftar di OUM.

Selain daripada yuran pengajian yang rendah dan kompetitif, OUM juga menawarkan dermasiswa kepada sejumlah besar pelajar cemerlang dan mereka yang memerlukan semenjak penubuhan universiti pada tahun 2000.

Bermula tahun depan, OUM memperuntukkan biasiswa berjumlah RM2 juta kepada pelajar baharu yang layak untuk semua program peringkat prasiswazah.

Presiden yang juga Naib Canselor Prof Dato’ Dr Mansor Fadzil berkata skim biasiswa baharu ini ditawarkan untuk membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk belajar di OUM.

“Inisiatif istimewa ini juga seiring dengan ulang tahun OUM yang ke-20 tahun depan. Dianggarkan 300 pelajar bakal menikmati biasiswa ini bermula semester Januari 2020.

“Penerima biasiswa akan mendapat bantuan kewangan dalam bentuk diskaun yuran sebanyak 50 peratus untuk semester pertama,” katanya.

Mansor berkata, sebagai contoh, yuran semester pertama untuk program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak ialah RM1,278. Individu yang berkelayakan akan mendapat potongan yuran separuh.

“Maknanya, selain daripada bayaran yuran minimum RM200, mereka hanya perlu membayar RM439 untuk semester pertama,” katanya.

Walau bagaimanapun, ia tertakluk kepada terma dan syarat. Individu yang berminat perlu menghantar permohonan dan sertakan bukti bahawa mereka: merupakan penerima Bantuan Sara Hidup; dan tidak mendapat sebarang tajaan atau biasiswa daripada organisasi lain.

Tarikh tutup permohonan ialah pada 9 Februari untuk ambilan Januari 2020.

Bertepatan dengan visi universiti untuk menawarkan pembelajaran yang fleksibel, berpatutan dan mudah akses, biasisiwa ini adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan OUM untuk menggalakkan sesiapa saja walau di mana jua untuk merealisasikan impian mereka ke menara gading.

“Saya berharap rakyat Malaysia yang berminat untuk melanjutkan pelajaran akan menggunakan biasiswa ini sebaiknya. Untuk jangka masa panjang, saya juga berharap OUM berupaya membantu menjadikan Malaysia sebuah negara maju,” kata Mansor.

OUM adalah sebuah universiti swasta, dimiliki oleh 11 IPTA terawal di Malaysia. OUM membantu golongan warga kerja belajar secara separuh masa dengan kemasukan yang fleksibel, menggunakan kelayakan akademik dan juga pengalaman terdahulu melalui kemasukan APEL. OUM kini beroperasi 7 hari seminggu, berlokasi dekat dengan anda, lebih 30 pusat pembelajaran di seluruh negara.

Pengambilan pelajar baru bagi kemasukan semester Januari sedang berlangsung. Rebut tawaran menarik, Daftar Dahulu Bayar Kemudian sekiranya anda mendaftar selewat-lewatnya 13 Januari 2020. Untuk info program yang ditawarkan, klik https://www.oum.edu.my/programmes-offered-at-oum/.

Permohonan boleh juga dibuat secara online di https://fastrac.oum.edu.my/ atau kunjungi terus ke pusat pembelajaran terdekat.

Untuk maklumat lanjut tentang biasiswa dan program yang ditawarkan di OUM, hubungi 03-7801 2000, emel enquiries@oum.edu.my .

 

myOUM
MOOC