OUM Jadi Pilihan bagi Yang Dipertua YADIM

Pendidikan dan pengajian Islam di Malaysia telah berkembang dengan pesat, bermula dari peringkat taska sehinggalah ke peringkat yag lebih tinggi. Ini secara tidak langsung dapat membantu graduan pengajian Islam menentukan hala tuju dan kerjaya mereka.

Di Open University Malaysia (OUM), pelajar berpeluang mendalami ilmu pengajian Islam dengan mudah dan fleksibel. Menurut Pengarah program Ijazah Sarjana Pengajian Islam, Dr Hamidah Mat, program ini dibangunkan khusus untuk mereka yang ingin menguasai ilmu pengajian Islam serta menambah ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang utama pengajian Islam yang lain seperti Syariah, Usuluddin, Dakwah dan Tamadun Islam.

“Sekiranya seseorang itu mempunyai latar belakang pendidikan Islam, bahasa Arab atau mempunyai pengalaman dalam bidang pendidikan Islam yang bersifat aktiviti atau program-program kemasyarakatan, maka OUM menyediakan peluang yang baik bagi mereka untuk meneruskan pengajian dalam bidang ini,” katanya.

Selain melahirkan individu yang berpengetahuan dan boleh menguasai ilmu pengetahuan Islam samada dari sumber klasik atau kontemporari, program ini juga menitik beratkan tentang kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah terutama dalam menganalisis isu-isu semasa berdasarkan kepada pemikiran Islam.

Bagi Yang Dipertua (YDP) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ustaz Nasrudin Hassan, beliau mengambil keputusan menyambung pengajian dalam program berkenaan kerana ingin mendalami dan meluaskan pengetahuan dalam bidang Syariah.

“Setelah menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Muda dalam bidang Usuluddin di Universiti Al-Azhar Mesir pada tahun 1997, keinginan saya untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi tergendala kerana kekangan masa dan kesibukan bertugas sebagai Ahli Parlimen ketika itu,” ujar beliau.

Ustaz Nasrudin pernah mendaftar di dua Institusi Pengajian Tinggi Awam sebelum ini bagi melanjutkan pengajian dalam bidang yang sama namun terpaksa berhenti disebabkan perjalanan berulang alik dari Kuantan ke Kuala Lumpur yang mengambil terlalu banyak masa.

“Setelah mengkaji dan meneliti bidang-bidang yang ditawarkan serta konsep pembelajaran yang fleksibel, saya mengambil keputusan untuk menyambung pengajian di OUM Kuantan kerana lokasi yang berdekatan dengan tempat tinggal saya,” katanya.

Beliau juga menyifatkan OUM sebagai Universiti yang ‘mesra orang bekerja’ dan ‘mesra orang sibuk’. Pengajiannya sama sekali tidak menganggu kerjayanya sebagai YDP YADIM, malah beliau boleh mengikuti setiap kelas tutorial dengan baik. “Oleh kerana pengajian ini sangat fleksibel serta jadual pembelajaran yang tidak terlalu padat, maka ia tidak membebankan dan saya seronok kerana dapat menghidupkan suasana pembelajaran di rumah bersama anak yang juga menyambung pengajian di OUM,” tambahnya.

Program Sarjana Pengajian Islam ini yang mengambil masa selama dua tahun atau enam semester dijalankan sepenuhnya secara dalam talian. Pelajar dibekalkan dengan bahan pembelajaran yang diperlukan seperti e-modul, video kuliah, sumber perpustakaan digital serta boleh mengakses forum perbincangan bersama tutor dan rakan sekelas menerusi platform e-pembelajaran, myINSPIRE.
Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi 012-303 9935 / 019-357 9074 / 019-266 8234, emel enquiries@oum.edu.my atau layari www.oum.edu.my/oum.

myOUM
MOOC