TEMPAT JIN BERTENDANG ATAU TEMPAT JIN BERTANDANG?

Tahukah anda yang mana satu frasa yang betul: “tempat jin bertendang” atau “tempat jin bertandang”? Dr Ghazali Lateh ada jawapannya.

Kredit Gambar: Jurugambar Tamás Mészáros di laman web pexels.com

Suatu waktu dahulu tercetus fenomena bahasa yang mempertikaikan peribahasa harapkan pagar, pagar makan padi. Banyak pandangan dikemukakan untuk merasionalkan perubahan kata ‘pagar’ ke kata ‘pegar’. Pandangan tersebut menyatakan kata ‘pegar’ lebih tepat dan logik kerana membawa maksud sejenis spesies burung. Ungkapan ‘pegar (burung) makan padi’  ada lebih logik berbanding ‘pagar’ yang sifatnya berupa ‘kayu mati’. Kekeliruan tersebut adalah disebabkan adaptasi daripada tulisan jawi (ڧݢر) yang pada mulanya tidak menitikberatkan penggunaan huruf vokal dalam ejaan.

Barangkali perkara yang sama juga berlaku pada ungkapan ‘tempat jin bertendang’.   Dalam peribahasa Melayu terdapat ungkapan ‘tempat jin bertendang’   untuk merujuk kepada tempat yang jauh di pedalaman dan tidak dikunjungi oleh orang. Selama ini penggunaan ungkapan tersebut telah menjadi kebiasaan tanpa sebarang perasaan janggal. Namun setelah tercetus polemik ‘pegar’ dengan ‘pagar’, maka terfikirlah bahawa penggunaan kata ‘bertendang’  dalam ungkapan ‘tempat jin bertendang’  juga merupakan sesuatu yang janggal.  Sama seperti punca kekeliruan ‘pagar’ dan ‘pegar’,  kata ‘bertendang’ tersebut merupakan variasi yang tercetus akibat tulisan jawi.  Aspek ketiadaan vokal dalam ejaan ‘bertandang’ (برتندڠ) dalam versi ejaan jawi menyebabkan kata tersebut dituturkan sebagai ‘bertendang’ (برتندڠ).

Secara logiknya,  apabila kata ‘bertendang’ itu diasosiasikan dengan kata ‘jin’ adalah sesuatu yang janggal. ‘Bertendang’ membawa konotasi berlawan. Jin pula merupakan makhluk halus yang wujud dalam bentuk yang abstrak.  Jadi,  adalah tidak logik untuk menyatakan ‘tempat jin bertendang’. Dalam hubungan ini, pemilihan kata ‘bertandang’ adalah lebih logik kerana kata tersebut membawa maksud ‘datang’. Tempat yang jauh biasanya tidak dikunjungi oleh manusia.  Ironinya,  apabila manusia tidak bertandang, maka yang tempat tersebut dianggap sesuai untuk entiti bukan manusia, termasuk jin.  Maka ungkapan tersebut seharusnya menjadi ‘tempat jin bertandang’.

Hal ini bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam budaya bahasa Melayu.  Oleh sebab bahasa Melayu itu sendiri sering menerima pengaruh yang sangat ketara, maka kemunculan variasi seperti ini tidak dapat dielakkan.  Sebagai satu entiti yang dinamik, bahasa wajar dilaraskan dengan perkembangan ilmu pengetahuan dan perkembangan zaman.  Jika perlu diperbetul, maka pengguna bahasa Melayu tidak harus menolak hakikat hanya kerana sesuatu yang dilafazkan sebelum ini telah menjadi sebati dan menjadi kebiasaan.

Barangkali selepas ini, kita akan terjumpa banyak lagi istilah yang silap yang disebabkan oleh pelbagai punca yang terjadi akibat fenomena pengembangan bahasa Melayu itu sendiri.  Pakar-pakar etimologi bahasa Melayu harus memainkan peranan untuk mengkaji asal-usul kata bahasa Melayu, khususnya yang mencetuskan kekeliruan penggunaannya.

Dr Ghazali Lateh merupakan seorang bekas guru dan berpengalaman 35 tahun dalam bidang pendidikan. Beliau berkelulusan Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu, Sarjana Sastera dan Doktor Falsafah (Pengajian Bahasa Melayu).

 Beliau sangat berminat dalam bidang penulisan kreatif.  Sehingga kini beliau telah menghasilkan 10 buah novel, 127 buah cerpen dan lebih daripada 100 buah puisi.  Selain itu, beliau juga telah menghasilkan 63 buah buku dalam pelbagai genre.

 Dr Ghazali kini bertugas sebagai pensyarah kanan di Kluster Pendidikan dan Sains Sosial serta Pengarah Program Sarjana Pendidikan Bahasa Melayu. Ketahui lebih lanjut tentang program ini di https://www.oum.edu.my/all-programmes/master-of-malay-language-education/.

 

myOUM
MOOC