Saya Mohd Huzaire Ahmad, Orang kelainan Upaya (OKU) berumur 44 tahun, Saya merupakan seorang guru Pendidikan Muzik di Sekolah Kebangsaan FELDA Mempaga 2, Bentong Pahang dan pelajar di Open University Malaysia (OUM) dalam bidang Sarjana Pendidikan. 

Cacat bukan alasan untuk hidup meminta-minta, perlu berusaha dan mencari peluang untuk keluar daripada kesusahan. Walaupun kaki saya sudah tidak berfungsi tetapi kerusi roda ini menjadi saksi kepayahan saya dalam mengubah hidup dan persepsi masyakarat terhadap golongan OKU. 

Saya sebenarnya bukanlah dilahirkan sebagai OKU tetapi normal seperti kebanyakan orang sehinggalah saya berusia 24 tahun. Saya memegang status OKU selepas terjatuh dari pokok dan doktor mengesahkan saya lumpuh seumur hidup, bermula dari paras pinggang ke bawah. Walaupun perit untuk terima hakikat berbanding mereka yang OKU sejak dilahirkan, saya terima ketentuan takdir dan saya yakinkan diri dengan tidak menjadikan kecacatan ini penghalang untuk buktikan kemampuan diri setanding dengan guru-guru normal lain dalam mendidik pelajar. 

Walaupun berprofesion guru, saya masih dahagakan ilmu pengetahuan dan pada pendapat saya dengan ilmu sahaja kita mampu mengubah hidup dan persepsi orang terhadap kita. Jadi, niat untuk menyambung pengajian selepas tamat pengajian dalam Program Pensiswazahan Guru di Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis Pahang pada tahun 2015 masih ada. Tetapi Ketika itu, pelbagai kekangan terutamanya kurang kemudahan fasiliti di universiti untuk pelajar OKU selain komitmen terhadap kerjaya, hasrat itu tertangguh.  

Sehinggalah pada awal Januari tahun ini, saya mula bergelar seorang pelajar semula selepas melihat iklan papan tanda di Open University Malaysia, Temerloh. Saya tertarik untuk menyambung pengajian di OUM adalah disebabkan oleh prasarana yang mesra OKU selain staf yang sangat baik, lokasi yang berdekatan dengan tempat tinggal dan mod pembelajaran fleksibel yang ditawarkan melalui e-pembelajaran. 

Mod pembelajaran melalui e-pembelajaran menjadi begitu popular selepas seluruh dunia dikejutkan dengan wabak Covid-19 sehingga menjejaskan banyak industri termasuk Pendidikan.  Walaupun menyusahkan banyak pihak, jika dari sudut positifnya pandemik ini sebenarnya memperkenalkan kita kepada kaedah pembelajaran alaf baru melalui e-pembelajaran sekaligus menyedarkan kita mengenai kepentingan e-pembelajaran pada zaman sekarang dan di masa hadapan.

 E-pembelajaran adalah mod pembelajaran yang sangat mudah, menjimatkan masa, kos dan tenaga. Pelajar tidak perlu lagi hadir ke kelas fizikal dan hanya berkomunikasi dengan pensyarah melalui sistem aplikasi teknologi terkini yang dibangunkan oleh OUM, asalkan ada akses kepada internet, semuanya boleh diakses hanya dihujung jari. Pelbagai bahan pembelajaran yang dimuat naik oleh pensyarah boleh diakses dengan mudah dan jika ada yang pelajar kurang faham, mereka boleh terus menghubungi pensyarah.  

Pada mulanya saya agak kurang arif mengenai penggunaan internet dan sistem yang digunapakai oleh OUM. Maklumlah sudah berumur, tidak begitu mahir mengenai penggunaan teknologi seperti mana pelajar muda lain. Tetapi dengan bantuan staf OUM, saya mengambil masa yang singkat sahaja untuk belajar dan memahami penggunaan sistem yang digunakan.

Walau bagaimanpun, sebab utama saya memilih OUM adalah statusnya sebagai peneraju utama kaedah pembelajaran melalui mod e-pembelajaran selain kemampuan OUM dalam menyediakan infrastruktur teknologi melalui sistem atas talian yang dibangun membolehkan pelajar seperti saya belajar di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa. 

Akhir kata, sekiranya anda berminat untuk melanjutkan pengajian pada ketika ini, boleh memilih pengajian secara dalam talian melalui e-pembelajaran dan OUM adalah universiti pilihan yang bertepatan dalam melaksanakan kaedah pembelajaran seperti ini. Apa-apa pun perjalanan saya masih jauh di OUM, tetapi saya yakin dengan kemudahan yang ada di OUM, ianya akan melancarkan perjalanan pengajian saya sehingga dianugerahkan ijazah sarjana kelak. Doakan saya berjaya!