Azreen Graduan Cemerlang OUM

Menjadi satu-satunya lelaki dalam semua kelas tidak mematahkan semangat Azreen Iqvarizani Safuwan bin Abdul Mohammad, 25, untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang di Open University Malaysia (OUM).

Anak jati Semporna ini bekerja sebagai guru muzik dan vokalis tempatan daerah. Ketika pandemik COVID-19 melanda, beliau nekad menyambung pengajian dalam bidang pendidikan bagi memperkukuh kerjayanya. Azreen memilih untuk mengikuti program Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dengan Kepujian (Bachelor of Early Childhood Education – BECHE) secara dalam talian sepenuhnya di OUM, iaitu sebuah universiti digital yang membolehkan belajar sepenuhnya dalam talian.

“Menjadi pelajar sambil bekerja bukan mudah. Tetapi sistem pembelajaran fleksibel OUM banyak membantu, terutamanya dengan adanya e-tutor, e-library serta kelas yang boleh diakses dalam talian pada bila-bila masa,” katanya.

Namun, cabaran paling unik buat Azreen ialah menjadi satu-satunya pelajar lelaki dalam setiap kelas. Situasi itu tidak melemahkan semangatnya, malah menjadi pendorong untuk terus maju.

“Walaupun bidang ini didominasi wanita, saya percaya lelaki juga boleh berjaya. Malah, salah seorang e-tutor sering melantik saya sebagai ketua kelas, dan ini mendorong saya untuk memimpin dengan lebih baik,” katanya.

Menurut Azreen, pengajian secara separuh masa sambil bekerja sepenuh masa bukan satu perjalanan yang mudah, namun beliau tetap cekal mengharunginya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pusat Pembelajaran OUM di Tawau yang banyak membantu sepanjang pengajian.

Azreen merupakan antara hampir 8,000 graduan yang menerima skrol sempena Konvokesyen ke-29 OUM yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 3 hingga 7 Mei.

“Saya telah berjaya lulus dengan cemerlang hasil segala usaha dan pengorbanan yang telah dicurahkan. Ilmu yang telah dipelajari kini saya aplikasikan dalam kerjaya harian, dan ada di antara e-tutor serta rakan-rakan yang telah akhirnya menjadi rakan karib hari ini,” tambahnya.

“Saya amat bersyukur kerana peluang pekerjaan serta pengalaman dalam bidang ini semakin luas. Malah, saya telah menerima tawaran daripada sebuah institusi pendidikan awal kanak-kanak swasta untuk turut merancakkan lagi industri ini di Sabah.

“Ijazah OUM ini juga telah membuka ruang untuk saya mengembangkan sayap dalam industri seni muzik dengan mengaplikasikannya dalam pendidikan awal kanak-kanak di daerah kelahiran saya.

“Kepada individu yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang ini, pilihlah OUM kerana fleksibiliti dan kemudahan yang ditawarkan adalah antara yang terbaik yang pernah saya kecapi.”

Program BECHE terbuka kepada pemohon yang memiliki STPM, STAM, matrikulasi atau diploma yang berkaitan. Calon yang mempunyai pengalaman kerja dalam bidang ini boleh memohon kemasukan melalui saluran APEL (Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu) yang dikendalikan oleh Agensi Kelayakan Malaysia. Tempoh pengajian biasa ialah 4.5 tahun (13 semester), namun juga boleh dipendekkan melalui pemindahan kredit menerusi APEL.

Pengarah program, Dr Loo Fung Lan, berkata, “Program ini direka khas untuk mereka yang ingin memahami perkembangan kanak-kanak dan cara mereka belajar. Ia membantu melahirkan guru, pengasuh dan pengendali tadika yang lebih berpengetahuan dan bersedia menghadapi keperluan pendidikan awal kanak-kanak masa kini.”

Selain program Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dengan Kepujian, OUM turut menawarkan program di peringkat Diploma, Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang yang sama.

Program-program ini ditawarkan di bawah Fakulti Pendidikan. Secara keseluruhan, OUM menawarkan 61 program di bawah empat fakulti: Pendidikan, Perniagaan dan Pengurusan, Teknologi dan Sains Gunaan, serta Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Berpusat di Selangor, OUM juga mempunyai 35 Pusat Pembelajaran di seluruh negara, termasuk enam di Sabah iaitu di Tawau, Kota Kinabalu, Keningau, Sandakan, Kota Marudu dan Lahad Datu. Walaupun sistem pengajiannya digital sepenuhnya, pusat-pusat ini menyediakan sokongan dan bimbingan tambahan untuk memastikan pelajar dapat belajar dengan lancar dan berjaya.

Untuk maklumat lanjut, layari www.oum.edu.my, hubungi 03-7801 2000 atau emel kepada enquiries@oum.edu.my

Contact Us

Menara OUM,
Block C, Kompleks Kelana Centre Point,
Jalan SS7/19, Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya, Selangor
Malaysia

+603-7801 1800 (General Line)
+603-7801 2000 (Speed Line)
+6012-303 9935 / +6019-357 9074
admission@oum.edu.my
(Enquiries for New Intake & Registration Only)