BAKAT DAN MINAT BERGERAK SEIRING

Bakat dan minat adalah dua perkara yang berbeza. Pandai melakukan sesuatu tidak bermakna itulah perkara yang kita minat walaupun kita berkemahiran dalam bidang tersebut. Namun yang pasti, hidup  akan lebih bermakna sekiranya kita dapat melakukan apa yang diminati.

Itulah pegangan Mohd Rani Mohd Tahir, pelajar Sarjana Muda Pengajian Melayu (Dengan Kepujian) Open University Malaysia (OUM). Beliau sangat meminati bidang penulisan sejak dari sekolah menengah tetapi terpaksa dipendamkan setelah bekerja dalam bidang teknikal.

Menjadikan bidang penulisan sekadar hobi, Mohd Rani yang baru-baru ini memenangi tempat kedua dalam Pertandingan Penulisan Artikel Popular Zakat Pulau Pinang Peringkat Kebangsaan, mengakui beliau hanya aktif menulis bila ada masa terluang.

“Idea untuk menulis datang pada bila-bila masa terutama waktu dinihari antara jam 3 hingga 5 pagi. Ilham juga boleh datang bila melihat pemandangan atau gelagat manusia,” ujar beliau.

Mohd Rani juga pernah memenangi hadiah utama dalam pertandingan menulis coretan pendek RTM pada tahun 2012. Beliau sungguh teruja apabila karyanya dideklamasikan oleh pelakon Dato’ Jalaludin Hassan bertajuk “Sayang Sarawak”.

Sejak itu, minatnya dalam bidang penulisan semakin bercambah dan beliau mula menulis beberapa antologi bersama genre pantun, puisi, cerpen dan buku kanak-kanak.

“Saya kini telah menyiapkan manuskrip novel, kumpulan puisi dan kumpulan cerpen sendiri yang akan diterbitkan dalam masa terdekat”, ujarnya.

Tertarik dengan sistem pembelajaran yang matang, dinamik dan fleksibel yang ditawarkan di OUM, Mohd Rani mengakui beliau tidak salah memilih program yang sarat dengan ilmu kerana ianya selari dengan minatnya. Baginya, minat untuk melalukan sesuatu itu perlu kuat bagi memastikan pelajaran, kerjaya dan keluarga bergerak seiring.

“Saya ingin menjadi role model kepada anak-anak saya supaya mereka rajin belajar, membaca dan memanfaatkan masa terluang untuk membuat perkara-perkara yang mereka minati. Saya juga ingin membuktikan bahawa minat dan bakat yang kita ada boleh membawa kita ke mercu kejayaan,” katanya.

myOUM
MOOC