Dari kiri Munira Mustafa, Khairul Amar Razali, Prof Datuk Dr Mohd Tajudin Md Ninggal dan Prof Dr Yon Rosli Daud hadir majlis menandatangani memoradum persefahaman (MoU) antara Faith Events dan Open University Malaysia di sini hari ini. (Sumber gambar: Berita Harian)
PETALING JAYA: Faith Events dan Open University Malaysia (OUM) menjalin kerjasama strategik bagi memperkukuh pendidikan Islam serta mempromosi pemahaman antara agama yang lebih mendalam di Malaysia.
Kolaborasi ini dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani hari ini, dengan OUM diwakili oleh Naib Presiden merangkap Timbalan Naib Canselor (Akademik & Penyelidikan), Prof Datuk Dr Mohd Tajudin Md Ninggal.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Faith Events, Khairul Amar Razali berkata, sebagai organisasi yang pakar dalam penganjuran acara rohani dan motivasi, kerjasama ini menandakan satu langkah penting dalam memperkasakan pendidikan Islam.
“MoU ini bertujuan untuk membangunkan kursus dan program Islam selain mempromosi ajaran Islam serta pemahaman rentas budaya. Ia juga melibatkan perkongsian sumber dan kepakaran bagi meningkatkan kualiti acara pendidikan serta motivasi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, kerjasama ini turut merangkumi penganjuran acara Islam yang lebih komprehensif untuk menyediakan pengalaman pembelajaran holistik kepada masyarakat.
Sementara itu, Prof Datuk Dr Mohd Tajudin berkata, OUM berbangga dapat bekerjasama dengan Faith Events dalam memperluaskan peluang pendidikan yang mengintegrasikan aspek akademik dan rohani.
“Inisiatif ini sejajar dengan misi OUM dalam menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dengan menerima pelbagai perspektif. Perkongsian ini menekankan kepentingan penyepaduan antara iman dan pendidikan bagi memastikan pengalaman pembelajaran yang lebih menyeluruh untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama ini juga menegaskan komitmen kedua-dua pihak dalam membina komuniti yang berteraskan ilmu, kepercayaan dan pertumbuhan peribadi.
Faith Events adalah sebuah organisasi yang memfokuskan kepada penganjuran acara berasaskan nilai Islam, termasuk seminar, kuliah dan persidangan, bertujuan memupuk kefahaman serta keharmonian antara masyarakat pelbagai agama dan budaya.
Kerjasama ini juga bertepatan dengan ulang tahun ke-25 OUM, yang terus berkembang sebagai peneraju dalam pembelajaran terbuka dan jarak jauh, dengan komitmen berterusan dalam menyediakan pendidikan inovatif serta mudah diakses.
Sumber:
https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2025/03/1369369/faith-events-oum-jalin-kerjasama-kukuh-pendidikan-islam-pemahaman
https://www.hmetro.com.my/taxonomy/term/2057/2025/03/1194116/faith-events-oum-jalin-kerjasama-maju-pendidikan-islam-perkukuh
https://malaysiagazette.com/2025/03/06/faith-events-oum-kerjasama-majukan-pendidikan-islam/
https://suaramerdeka.com.my/faith-events-dan-oum-perkukuh-pendidikan-islam-dan-kerjasama-akademik/









