‘Ilmu jadi tiket peluang kedua’ – Banduan Penjara Kajang

KUALA LUMPUR – “Siang saya pelajar, malam saya banduan.” Itulah gambaran jujur Suresh (bukan nama sebenar) banduan Penjara Kajang yang menerima Diploma Pengurusan Perniagaan daripada Open University Malaysia (OUM) sempena Majlis Konvokesyen Ke-29 institusi itu yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.

Suresh yang menjalani hukuman penjara seumur hidup sejak berusia 17 tahun membuktikan bahawa kesilapan silam bukan penghalang untuk meraih kejayaan.

Pemuda berusia 31 tahun itu menyambung pengajian secara Online Education Mode (OEM) dalam penjara dan menamatkan pengajian diplomanya dengan cemerlang, hasil tajaan penuh daripada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

“Saya pernah fikir hidup saya sudah berakhir, tapi bila dapat peluang ambil SPM dalam penjara, saya rebut. Tahun 2014, saya jadi pelajar terbaik Sekolah Integriti seluruh Malaysia. Dari situlah semuanya bermula,” katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, pembelajaran dalam penjara memerlukan ketabahan dan disiplin tinggi kerana semua aktiviti tertakluk kepada peraturan Jabatan Penjara.

“Pagi sampai petang kami hadir kelas, lepas itu kembali sebagai banduan. Tugasan semua secara individu dan kami hantar melalui e-mel kepada pensyarah. Walaupun susah, tapi pegawai penjara sangat membantu,” ujarnya.

Menurut Suresh, kemudahan pembelajaran disediakan sepenuhnya dalam kawasan penjara termasuk bilik kelas khas, akses bahan pembelajaran dalam talian dan sokongan komunikasi akademik melalui saluran rasmi.

Tambahnya, pandemik Covid-19 menyebabkan pengajiannya tertangguh hampir dua tahun, namun selepas OEM diperkenalkan, beliau dapat menyelesaikan diploma dalam tempoh sekitar empat tahun.

“Saya bangga sebab walaupun belajar dari sebalik tembok penjara, saya masih mampu capai kecemerlangan. Ini juga satu kebanggaan buat keluarga saya,” katanya.

Dia kini menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan bantuan keluarga dan giat mencari penaja baharu untuk membiayai pengajiannya yang berbaki dua tahun, pada masa sama memberi inspirasi kepada banduan lain untuk bangkit.

“Dulu ramai caci, sekarang mereka tanya macam mana nak sambung belajar. Ilmu itu ubat kepada masa silam, peluang tak datang selalu,” katanya.

Seorang lagi banduan yang merupakan penerima Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Siva (bukan nama sebenar), 36, berhasrat mahu membuka perniagaan sendiri selepas keluar dari penjara kelak.

Siva kini meneruskan pengajiannya bagi memperoleh Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) dan bercita-cita untuk melanjutkan pengajian hingga ke peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD).

“Saya tak mahu habiskan masa di penjara tanpa arah tuju. Keluarga saya semua berpendidikan. Saya pernah mulakan diploma di luar sebelum masuk penjara, tapi tak sempat tamat. Jadi bila dapat tahu ada peluang sambung belajar di sini, saya terus ambil peluang itu,” katanya.

Ujarnya, meskipun proses pembelajaran di dalam penjara amat terhad dari segi masa dan kemudahan, beliau tetap bertekad untuk berjaya.

“Kami hanya dibenarkan akses internet dari jam 9 pagi hingga 2 petang. Segala tugasan dan peperiksaan perlu disiapkan dalam tempoh itu. Kami juga tak dibenarkan buat tugasan berkumpulan, semuanya secara individu,” katanya.

Segala proses pembelajaran dijalankan secara dalam talian menerusi sistem e-mel dan platform rasmi OUM.

Siva turut merakamkan penghargaan kepada pegawai Penjara Kajang yang banyak membantu memudahkan urusan pembelajaran mereka sepanjang berada di dalam.

Difahamkan, Siva telah menjalani hukuman sejak 2013 dan bercadang untuk bekerja terlebih dahulu sebelum membuka perniagaan sendiri hasil ilmu yang diperoleh.

“Saya tak mahu sia-siakan hidup. Ilmu ini saya gunakan untuk ubah diri dan bantu keluarga. Saya mahu keluar sebagai insan yang lebih baik dan bermanfaat untuk masyarakat,” katanya.

Sementara itu, anak kelahiran Klang yang juga penerima Diploma Pengurusan Perniagaan, Shankar (bukan nama sebenar), 31, berkata sebelum ditahan beliau pernah menjalankan perniagaan sendiri dan bercita-cita untuk kembali menjadi usahawan selepas bebas kelak.

“Saya ada banyak rancangan lagi, tapi yang utama saya nak gunakan ilmu yang saya belajar dalam penjara ini untuk bina hidup baru,” katanya.

Dia yang bertekad untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Ijazah Sarjana Muda turut berpesan kepada individu lain yang sedang menjalani hukuman agar tidak mempersiakan peluang kedua yang ditawarkan melalui pendidikan.

“Kami belajar dalam penjara untuk buktikan yang kami mahu berubah. Walaupun dipenjara, kami masih ada masa depan. Jangan sia-siakan peluang kedua yang diberikan,” kata anak kedua daripada empat beradik itu.

Shankar percaya pendidikan yang diperoleh mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap bekas banduan dan memberi ruang untuk mereka memulakan hidup baharu.

https://www.sinarharian.com.my/article/726594/edisi/selangor-kl/ilmu-jadi-tiket-peluang-kedua—banduan-penjara-kajang/

Sumber lain:

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tiga-banduan-penjara-kajang-raih-kejayaan-akademik-519318

https://malaysiagazette.com/2025/05/04/banduan-penjara-seumur-hidup-berjaya-genggam-diploma/

https://malaysiagazette.com/2025/05/04/di-sebalik-tirai-besi-kerjasama-kpt-oum-tiga-prospek-raih-kejayaan/

https://www.utusan.com.my/nasional/2025/05/banduan-muda-jadi-inspirasi-untuk-berjaya/

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tiga-banduan-penjara-kajang-raih-kejayaan-akademik-519318

https://sinarbestari.sinarharian.com.my/my-ipt/bekas-banduan-peroleh-phd-ubah-diri-dengan-pendidikan

https://bernama.com/bm/am/news.php?id=2419523

https://www.bernama.com/misc/rss/news.php?id=2419539

Videos:

https://www.youtube.com/watch?v=RCtp0EvB2AU

https://www.facebook.com/share/v/15HHmWfb3P/

https://www.facebook.com/share/v/1C2YM7neEF/

https://vt.tiktok.com/ZShhmvmhD/

https://www.facebook.com/bernamatamilnews/videos/1037324321057712

Contact Us

Menara OUM,
Block C, Kompleks Kelana Centre Point,
Jalan SS7/19, Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya, Selangor
Malaysia

+603-7801 1800 (General Line)
+603-7801 2000 (Speed Line)
+6012-303 9935 / +6019-357 9074
admission@oum.edu.my
(Enquiries for New Intake & Registration Only)