“Tiada jual beli, sesiapa pun boleh mengambil secara percuma kerana ia tidak terhad kepada golongan B40, ibu tunggal, miskin atau asnaf sebaliknya jika seseorang itu datang dengan BMW pun, jika mereka suka pakaian itu, ambil sahaja.
“Pengunjung boleh mengambil apa-apa yang berkenan mengikut keperluan kerana masing-masing kerana tema kami, ‘Dari Komuniti Untuk Komuniti’.
“Cuma, sebagai orang Islam, kita mulakan dengan salam, sekurang-kurangnya ada komunikasi dua hala yang sopan, lepas tu ambillah, tiada bayaran apa-apa pun,” kata Penyelaras Program, Free Market BBBC, Kelana Putra Muhamad.
Ini adalah kali ketiga Sukarelawan Free Market BBBC (Komuniti Bandar Baru Bangi) menganjurkan program itu yang mendapat kerjasama Bangi Learning Centre Open University Malaysia (OUM), Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 16, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Jabatan Pembangunan Masyarakat MPKj, Be Kind Malaysia, dan Life Line Clothing Malaysia (LLCM).
Free Market BBBC diadakan sempena Tahun Baru Cina, sesi baru persekolahan dan Aidilfitri di tempat letak kereta Bangi Learning Centre OUM di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor yang dicadang dijadikan lokasi tetap dan dinamakan “Charity Street”.
“Program yang bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari mendapat kerjasama OUM yang memberi kebenaran menggunakan tempat letak kereta, sistem siaran bunyi, makanan, minuman, sijil kesukarelawan dan bilik bagi memudahkan petugas kami beroperasi selain zon kanak-kanak bagi membolehkan si cilik melukis dan mewarna ketika ibu bapa sibuk memilih pakaian.
“Seramai 21 sukarelawan membantu melancarkan Free Market manakala LLCM menyediakan lori untuk mengangkut baju lusuh, MPKj menempatkan kaunter bergerak cukai taksiran, kaunter bertemu pelanggan dan tong sampah, Ahli Majlis Zon 16 menyumbang beg dan peralatan persekolahan, khemah, nasi lemak dan kerusi meja, manakala Ahli Parlimen Bangi memberi limau mandarin kepada orang ramai yang hadir.
“Sambutan memang di luar dugaan, percaya atau tidak sejam pertama semua baju yang dilonggokkan habis! Malah sehingga jam 12 tengah hari pun masih ramai yang menghantar pakaian dan sibuk memilih baju yang mereka berkenan,” katanya.
Sumber: KitaReporters https://kitareporters.com/insan/w9aAnA11bv









