Pusat Pembelajaran Taiping Bantu Golongan Asnaf Terjejas

Pandemik Covid-19 yang melanda negara lebih setahun yang lalu memberi kesan kepada semua pihak terutamanya golongan asnaf dan ibu tunggal. Ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang, makan petang’ ramai yang hilang pekerjaan dan terjejas sumber pendapatan terutama dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula sejak 1 Jun lalu.

Menyedari hakikat itu, Pusat Pembelajaran Taiping, Open University Malaysia dengan kerjasama Kelab Kebajikan Kasih Ihsan Malaysia telah menyampaikan bantuan kepada 24 golongan Asnaf yang terdiri daripada ibu tunggal, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas yang tinggal di sekitar Taiping. Bantuan berupa barangan keperluan asas seperti beras, gula, susu dan keperluan harian yang lain telah disampaikan oleh Pengarah Pusat Pembelajaran Taiping, Puan Nooraini Youp.“Kami berharap agar bantuan ini dapat meringankan beban mereka dalam meneruskan kehidupan seharian,” katanya.

Menurut salah seorang penerima bantuan tersebut, Encik Ibrahim Ismail yang juga seorang OKU, sumbangan ini amat membantu beliau untuk meneruskan kehidupan bersama tiga orang anaknya. “Saya amat berterima kasih kepada pihak OUM dan Kelab Kebajikan Kasih Ihsan Malaysia kerana prihatin dengan nasib kami sekeluarga. Dengan bantuan ini, sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan kehidupan kami sekeluarga,” tambahnya yang lumpuh separuh badan sejak 2016.

Bagi Nurul Farhanah Basri pula, kehidupannya sebagai seorang ibu tunggal dalam membesarkan dua orang anak amat terjejas sejak PKP yang lalu. “Saya amat berterima kasih kepada pihak OUM dan NGO lain yang turut membantu golongan asnaf seperti kami. Dengan bantuan seperti ini, kami merasakan yang kami tidak dipinggirkan di saat kami memerlukan,” katanya yang membesarkan dua orang anaknya dengan hasil jualan kuih muih.

myOUM
MOOC