13 tahun dalam jel, kini sambung PhD

Kuala Lumpur: “Dalam penjara, setiap masa yang kita dapat macam emas,” kata graduan dari tirai besi, Pooven (bukan nama sebenar), 32.

Selepas lebih sedekad bergelar penghuni penjara, dia berjaya menamatkan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan kini meneruskan pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang sama menerusi Open University Malaysia (OUM).

Katanya, dia menggunakan setiap peluang dan ruang sepanjang menjalani hukuman di Penjara Kajang untuk mengubah kehidupannya menerusi pendidikan,” katanya kepada Harian Metro pada Majlis Konvokesyen OUM ke 30 di sini, semalam.

Pooven berkata, dia sudah menjalani hukuman penjara selama 13 tahun dan masih mempunyai baki hukuman kira-kira setahun sembilan bulan lagi.

“Kalau ada perkara perlu dibuat, kami akan catat semuanya dahulu sebelum sambung semula kerja pada keesokan hari.

“Sepanjang berada di penjara menjalani hukuman, saya sudah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.26 sebelum menyambung MBA pada 2022 dan memperoleh CGPA 3.67,” katanya.

Menurutnya, persepsi masyarakat yang menganggap prospek tiada masa depan menjadi antara faktor utama dia mahu berjaya dalam akademik.

“Ramai fikir prospek ini tiada masa depan. Jadi saya mahu buktikan kami juga boleh berjaya kalau diberi peluang kedua.

“Apabila bebas nanti, saya mahu buka perniagaan makanan dan minuman sendiri berdasarkan kajian yang saya buat dalam ‘master’ dan PhD.

“Disiplin tinggi menjadi kunci utama untuk berjaya kerana kebanyakan tugasan universiti perlu dilakukan secara terancang,” katanya.

Tambahnya, kemudahan perpustakaan digital OUM serta Internet banyak membantu dirinya mendapatkan bahan rujukan akademik sepanjang belajar di penjara.

“Dunia sekarang di hujung jari. Kami masih boleh cari bahan rujukan dan buat kajian seperti pelajar lain.

“Sokongan Jabatan Penjara Malaysia dan pihak universiti juga menjadi antara faktor penting yang memberi peluang kedua kepada prospek untuk mengubah kehidupan melalui pendidikan,” katanya.

Katanya, kehilangan kedua ibu bapanya ketika menjalani hukuman menjadi antara detik paling sukar dalam hidupnya.

“Ibu meninggal dunia tujuh tahun lalu manakala bapanya pula meninggal dunia ketika dia masih kecil. Kini, hanya mak cik dan sepupu menjadi penyokong setia sepanjang saya menjalani hukuman dan menyambung pengajian.

“Saya percaya ibu bapa saya pasti bangga dengan pencapaian saya hari ini,” katanya.

Menurutnya lagi, terdapat kira-kira 20 prospek di Penjara Kajang yang sedang mengikuti pengajian pelbagai peringkat bersama OUM termasuk diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan PhD.

“Kalau ada keazaman, sesiapa pun boleh berubah dan berjaya,” katanya.

Sumber:
Hafiz Ithnin. (2026, May 11). 13 tahun dalam jel, kini sambung PhD. Harian Metro.https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/05/1356308/13-tahun-dalam-jel-kini-sambung-phd

Contact Us

Menara OUM,
Block C, Kompleks Kelana Centre Point,
Jalan SS7/19, Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya, Selangor
Malaysia

+603-7801 1800 (General Line)
+603-7801 2000 (Speed Line)
+6012-303 9935 / +6019-357 9074
admission@oum.edu.my
(Enquiries for New Intake & Registration Only)