Kaunseling Keluarga Era AI: Jiwa Manusia Perlu Terus Dipelihara

Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

 

Oleh Prof Dr Fatimah Yusooff

Kita sedang hidup dalam satu zaman yang sangat berbeza berbanding dahulu. Dunia berubah terlalu pantas.

Teknologi berkembang dengan begitu luar biasa sehingga hampir setiap aspek kehidupan manusia hari ini dipengaruhi oleh kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI). Apa yang dahulu dianggap mustahil, kini menjadi sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat.

Jika dahulu manusia keluar rumah tanpa memikirkan internet, hari ini perkara pertama yang ditanya apabila masuk ke sesuatu tempat ialah, “Ada wifi tak?” atau “Internet laju tak kat sini?”

Perkara ini kelihatan kecil, namun sebenarnya menggambarkan bagaimana kehidupan manusia moden sangat bergantung kepada teknologi digital.

Internet kini bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan. Dari kanak-kanak sehingga warga emas, semuanya hidup bersama teknologi.

Dengan kadar penggunaan internet di Malaysia yang melebihi 90 peratus, kita sedang melihat perubahan besar terhadap cara manusia berfikir, berhubung dan membina hubungan dalam keluarga.

Teknologi dan AI

Namun, di sebalik kemudahan yang dibawa teknologi, saya juga melihat semakin banyak cabaran yang muncul dalam institusi keluarga.

Sepanjang pengalaman menjalankan sesi kaunseling keluarga sejak dahulu sehingga hari ini, semakin banyak isu yang timbul sebenarnya berkait rapat dengan perkembangan teknologi dan AI.

Teknologi memang membantu manusia menjadi lebih cepat dan cekap, tetapi dalam masa sama, ia perlahan-lahan menghakis hubungan emosi dalam keluarga.

Kita semakin mudah berhubung melalui skrin, tetapi semakin sukar memahami hati manusia di hadapan kita sendiri.

Hari ini muncul satu fenomena yang sangat membimbangkan, iaitu “alone together.”

Ahli keluarga tinggal di bawah satu bumbung, tetapi terasing secara emosi kerana masing-masing tenggelam dalam peranti sendiri.

Semua berada dalam rumah yang sama, namun jiwa mereka berjauhan.

Kita boleh lihat sendiri situasi ini berlaku di kebanyakan rumah. Ketika makan bersama keluarga, suasana tidak lagi seperti dahulu.

Jika dulu meja makan menjadi tempat berkongsi cerita dan berinteraksi secara langsung, kini ramai hanya diam sambil melihat telefon masing-masing.

Kadangkala seluruh keluarga duduk bersama, tetapi tiada komunikasi sebenar berlaku.

Hubungan emosi yang sebenar

Beberapa klien yang datang bertemu, pernah meluahkan perasaan seperti, “Saya rasa sunyi dalam rumah sendiri,” dan “Saya rasa terasing walaupun ada keluarga.”

Pernah juga seorang wanita berkata, “Saya dah kahwin 10 tahun, tapi saya rasa sangat lonely dalam rumah sendiri.”

Apabila ditanya sama ada beliau sering bercakap dengan suaminya, beliau menjawab, “Hari-hari bercakap, tapi melalui telefon.”

Jawapan itu sangat memberi kesan. Ia menunjukkan bahawa komunikasi digital tidak mampu menggantikan hubungan emosi yang sebenar.

Kita mungkin bercakap setiap hari melalui WhatsApp atau media sosial, tetapi hubungan jiwa tidak berlaku sepenuhnya di situ.

Kadangkala manusia terlupa bahawa terapi paling besar dalam keluarga ialah kehadiran fizikal, sentuhan emosi dan komunikasi secara bersemuka.

Apabila pasangan duduk berbual secara terus, memandang wajah satu sama lain dan mendengar dengan hati, di situlah sebenarnya proses penyembuhan berlaku.

Risiko baharu

Sebagai kaunselor keluarga, saya melihat kemunculan risiko baharu dalam kehidupan moden seperti ketagihan skrin, buli siber, pengasingan emosi dan penghakisan masa berkualiti bersama keluarga.

Semua ini memerlukan perhatian serius daripada masyarakat dan juga bidang kaunseling.

Saya tidak menolak manfaat AI. Malah saya sendiri melihat AI mempunyai banyak potensi besar dalam membantu kehidupan manusia.

Dalam bidang kaunseling, AI boleh membantu dari sudut pentadbiran, pengurusan data dan akses maklumat yang lebih cepat.

Teknologi juga membolehkan perkhidmatan kaunseling sampai ke kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak.

Jika seseorang mengalami tekanan atau masalah keluarga, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan awal melalui platform digital dengan lebih mudah dan pantas.

Namun begitu, saya sentiasa menegaskan bahawa AI hanyalah alat bantu, bukan pengganti manusia.

AI mungkin sangat pintar, tetapi ia tidak mempunyai jiwa. AI tidak mampu merasai kesedihan manusia.

Ia tidak memiliki empati, intuisi klinikal dan kehangatan hubungan manusia yang menjadi asas penting dalam proses penyembuhan emosi.

Sebagai contoh, jika seseorang menaip soalan kepada AI seperti, “Saya nak minta cerai, apa perlu saya buat?” teknologi mungkin memberikan jawapan teknikal dan prosedur yang cepat.

Tetapi seorang kaunselor manusia akan melihat jauh lebih mendalam daripada itu.

Saya akan bertanya tentang keadaan anak-anak, hubungan pasangan, faktor emosi, aspek agama, keselamatan keluarga dan kemungkinan pemulihan rumah tangga tersebut.

Semua ini memerlukan pertimbangan kemanusiaan yang tidak boleh dilakukan oleh algoritma semata-mata.

Kesejahteraan keluarga

Begitu juga dalam isu penderaan rumah tangga yang telah lama saya kaji dalam penyelidikan.

Ramai wanita yang datang mendapatkan bantuan sebenarnya memendam penderitaan terlalu lama.

Ada yang mengalami penderaan emosi, fizikal dan psikologi, tetapi memilih untuk diam kerana takut atau malu.

Malah dalam kajian saya juga, terdapat lelaki yang menjadi mangsa penderaan tetapi tidak melaporkannya kerana stigma masyarakat.

Semua pengalaman ini menjadikan saya semakin memahami bahawa kesejahteraan keluarga bukan semata-mata isu teknologi atau komunikasi, tetapi melibatkan emosi, budaya, agama dan nilai kemanusiaan.

Dalam konteks masyarakat Malaysia, kita tidak boleh memisahkan kaunseling keluarga daripada nilai budaya dan kerohanian.

Masyarakat kita mempunyai budaya menghormati orang tua, menjaga adab dan mengelakkan konflik secara terbuka.

Kadangkala seseorang tidak meluahkan kemarahan secara langsung, tetapi emosi itu tetap wujud dan perlu difahami dengan penuh hikmah.

Pendekatan HITL

Sebab itu saya sangat menekankan pendekatan Human in The Loop (HITL) dalam penggunaan AI bagi kaunseling keluarga.

Teknologi boleh digunakan untuk membantu meningkatkan kecekapan kerja, tetapi keputusan klinikal, intervensi emosi dan pertimbangan etika mestilah tetap berada di tangan manusia.

Elemen seperti empati, sentuhan emosi dan keselamatan psikologi tidak boleh direplikasi oleh mesin walau secanggih mana sekalipun teknologi itu berkembang.

Kaunselor masa depan juga perlu mempunyai kompetensi baharu dalam memahami media sosial, aplikasi AI dan etika digital.

Kita perlu memahami bagaimana teknologi mempengaruhi emosi manusia, hubungan kekeluargaan dan cara generasi hari ini membina identiti mereka.

Namun dalam kita mengejar kecanggihan teknologi, saya percaya satu perkara yang paling penting ialah memastikan manusia tidak kehilangan nilai kemanusiaannya sendiri.

Teknologi boleh menjadi semakin pintar, tetapi hati manusia mesti terus dipelihara.

Jangan sampai rumah menjadi sekadar tempat tinggal jasad, tetapi kehilangan kasih sayang, komunikasi dan ketenangan jiwa.

Kerana akhirnya, sebesar mana pun kecerdasan buatan berkembang, manusia tetap memerlukan cinta, empati dan hubungan sesama manusia untuk terus hidup sebagai sebuah keluarga yang sejahtera.

— BERNAMA

Prof Dr Fatimah Yusooff ialah Pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Open University Malaysia (OUM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

 

Sumber:

Fatimah Yusooff. (2026, May 15). Kaunseling keluarga era AI: Jiwa manusia perlu terus dipelihara. BERNAMA Tinta Minda.
https://bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2556856

Contact Us

Menara OUM,
Block C, Kompleks Kelana Centre Point,
Jalan SS7/19, Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya, Selangor
Malaysia

+603-7801 1800 (General Line)
+603-7801 2000 (Speed Line)
+6012-303 9935 / +6019-357 9074
admission@oum.edu.my
(Enquiries for New Intake & Registration Only)