Masih Pentingkan Ilmu Walau Berjaya dalam Kerjaya

Tidak semua orang mengimpikan untuk menggapai segulung ijazah walaupun sudah bekerjaya. Ada yang sudah mempunyai kerjaya yang cukup bagus tapi masih mahu menimba ilmu ke peringkat yang lebih tinggi. Ada juga yang sudah mempunyai pelajaran yang tinggi tetapi masih belum puas belajar.

Bagi Encik Sulieman Haji Ahmad, 72, yang kini memegang jawatan sebagai Pengerusi di firma konsultansi dan perunding hartanah serta mempunyai kerjaya yang bagus, itu bukan halangan untuknya menyambung pengajian dalam bidang Sarjana Pentadbiran Perniagaan. Selain ingin menjadi role model kepada anak-anaknya, beliau juga ingin memperkukuhkan ilmu undang-undang dan perniagaan untuk memajukan syarikatnya.

“Saya pernah ditanya, kenapa belajar kembali setelah lama meninggalkan bangku sekolah. Jawapan saya ringkas sahaja ‘Íts rejuvenating for a person of my age’. Boleh dikatakan, sepanjang bergelar pelajar di Open Universiti Malaysia (OUM), tiada satu pun pengalaman pahit yang saya lalui dan saya sangat gembira bergaul dengan pelajar-pelajar muda serta dapat bertukar fikiran dengan mereka,” katanya.

Walaupun pernah melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana Muda dalam bidang Pengurusan Hartanah di University of Reading, United Kingdom, dan Undang-undang di University of London semasa zaman mudanya, beliau mengakui bahawa dia perlu menyesuaikan diri sebagai pelajar Universiti semula selepas bertahun-tahun meninggalkan dunia pendidikan.

Jurang masa yang agak lama meninggalkan zaman belajar tidak mematahkan semangatnya untuk terus belajar. Kerana jadual yang fleksibel, beliau masih boleh merancang masa bagi mengimbangi antara kelas tutorial, menyiapkan tugasan dan research pada tiap-tiap semester sambil menguruskan syarikat dan kerja-kerja harian di pejabat.

Ketika rakan-rakan seusianya menghabiskan waktu bersama anak dan cucu di rumah, beliau masih gigih mempelajari segala peranti teknologi bagi memudahkan urusan pembelajarannya. “Sebagai seorang pelajar dewasa, saya tidak begitu cekap dalam menggunakan komputer dan segala perisiannya. Untuk itu, saya terpaksa belajar dengan lebih mendalam bagaimana menggunakan alatan ini,” tambahnya.

Bakal menyambut hari lahir yang ke-73 pada 5 Mac ini, beliau yang telah menamatkan pengajian pada bulan Disember 2020 yang lalu berharap agar Ijazah Sarjana yang dimilikinya dapat membantu dalam memperbaiki mutu perkhidmatan syarikatnya. “Saya berharap dapat mempraktikkan apa yang telah dipelajari selama ini agar lebih yakin dalam menjalankan tanggungjawab terhadap syarikat saya,” ujarnya.

Beliau turut menasihati anak-anak muda yang ingin menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi supaya bersedia dari segi mental dan fizikal selain meningkatkan pengetahuan dalam subjek teras yang ingin dipelajari.

“Saya berharap semoga OUM akan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua pelajarnya. Dengan fleksibiliti yang ditawarkan serta kemudahan yuran yang berpatutan, InsyaAllah OUM akan menjadi sebuah Universiti yang unggul pada masa akan datang,” katanya.

myOUM
MOOC