OUM Tawar Pendidikan Fleksibel dan Mampu Biaya

Lahad Datu – Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Mohd Yusof Apdal berkata pusat pengajian tinggi harus diperluas kepada kawasan luar bandar. Ia penting bagi memastikan semua golongan di luar bandar mempunyai peluang pendidikan yang sama seperti di pusat bandar.

Pada masa yang sama, Presiden/Naib Canselor, Prof Dr Ahmad Izanee Awang berkata peluang pendidikan yang ditawar OUM bakal memberikan peluang yang luas terutamanya kepada mereka yang ingin kekal bekerja dan belajar melalui kaedah pembelajaran dalam talian.

YB Datuk Mohd Yusop Apdal yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu telah mengadakan lawatan ke Pusat Pembelajaran OUM di Lahad Datu pada 7 Disember 2023. Pusat Pembelajaran Lahad Datu telah mula beroperasi pada 2014 di Kolej Komuniti dan SMK Terusan dan berpindah ke bangunan ini pada 2017. Beliau turut diberi taklimat ringkas oleh Prof Dr Izanee berkenaan perkhidmatan pendidikan yang ditawarkan kepada penduduk daerah Lahad Datu dan sekitarnya.

Kaedah pembelajaran dalam talian dilihat bersesuaian dengan inisiatif kerajaan dalam memperkasakan Pembelajaran Sepanjang Hayat di Malaysia. Kaedah ini juga mampu memberikan fleksibiliti kepada mereka yang ingin menyambung pengajian. OUM juga berharap dapat memainkan peranan yang aktif dalam mempersiap tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi permintaan IR4.0.

Kini OUM mempunyai enam pusat pembelajaran di Sabah iaitu Kota Kinabalu, Kota Marudu, Keningau, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu.






myOUM
MOOC