DECE

Tawar Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak seiring keputusan kerajaan

Open University Malaysia (OUM) menyambut baik keputusan kerajaan yang mensyaratkan semua guru prasekolah dan tabika memiliki sekurang-kurangnya diploma dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak mulai tahun depan.

Pengerusi Kluster Pendidikan dan Sains Sosial Dr Aliza Ali berkata, guru prasekolah dan tabika memainkan peranan penting dalam melahirkan kanak-kanak yang holistik. Ini bermaksud kanak-kanak dapat berkembang secara menyeluruh dari segi intelektual, sosial, emosional, komunikasi dan juga fizikal.

Katanya, bagi memenuhi keperluan itu, OUM menawarkan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DECE) yang menyediakan ilmu pengetahuan menyeluruh kepada pelajar, bukan sahaja dari segi perkembangan dan penilaian kanak-kanak.

“DECE turut meliputi aspek seni dan muzik untuk kanak-kanak, pedagogi pembelajaran, kesihatan dan keselamatan serta kemahiran pengurusan pusat pendidikan awal kanak-kanak.

Program DECE ini juga telah menerima akreditasi penuh dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” katanya.

Mengulas lanjut, pelajar yang mengikuti pengajian pendidikan awal kanak-kanak diberi pendedahan mengenai teori perkembangan kanak-kanak supaya dapat mendalami bagaimana mereka dapat belajar dan berkembang dengan dibimbing oleh pakar OUM yang berkelayakan dan berpengalaman.

“Pelajar juga berpeluang memilih kursus elektif seperti Fardu Ain for Young Children, Kemahiran Pengajaran Bahasa Arab, Introduction to Special Needs dan Educating Young Children with Diverse Abilities,” katanya.

Menurutnya, guru prasekolah boleh mendaftar melalui kemasukan normal atau kelayakan Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).

“Kemasukan melalui APEL adalah laluan alternatif yang membolehkan individu yang kurang kelayakan akademik namun memiliki pengalaman kerja yang luas untuk belajar di peringkat diploma, sarjana muda mahupun sarjana.

“Melalui APEL, individu yang layak boleh mengemukakan bukti pengalaman kerja terdahulu untuk mendaftar (APEL-A) ataupun mendapatkan kredit (APEL-C). Melalui APEL-C, seseorang pelajar boleh memperoleh sehingga 30% kredit, sekali gus dapat memendekkan tempoh belajar serta mengurangkan yuran pengajian,” katanya.

Tambahnya, sebagai sebuah universiti yang menerapkan kaedah pembelajaran dalam talian dan fleksibel, guru prasekolah dapat belajar tanpa perlu berhenti kerja.

“Pembelajaran dalam mod teradun menggabungkan pembelajaran secara bersemuka, dalam talian serta belajar kendiri. Pembelajaran separuh masa sebegini sesuai buat mereka yang mempunyai pelbagai komitmen lain.

“Semua e-modul, forum perbincangan serta kuliah boleh diakses secara dalam talian menerusi platform pembelajaran myINSPIRE dan sumber pembelajaran dan rujukan juga mudah diakses di mana-mana sahaja dengan adanya perpustakaan digital yang lengkap dengan pelbagai e-buku, e-jurnal, e-tesis, artikel, kertas persidangan dan sebagainya, katanya.

Dr Aliza berkata, guru prasekolah dan tabika yang berjaya menamatkan program DECE boleh mengorak langkah ke arah kerjaya yang menarik dalam bidang yang makin tinggi permintaannya di Malaysia.

“Kepada graduan yang berminat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, OUM turut menawarkan program pendidikan awal kanak-kanak di peringkat sarjana muda dan sarjana iaitu Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak (BECHE) dan Sarjana Pendidikan Awal Kanak-Kanak (MECHE),” katanya.

Klik di sini untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang DECE