Pembentukan karier dalam industri pembinaan memerlukan ilmu pengetahuan dan kemahiran dipertingkat bukan saja ke arah melahirkan pengurus pembinaan yang cekap, malah berupaya meningkatkan daya saing sesebuah organisasi.

Di Open University Malaysia (OUM), program Sarjana Muda Sains Pengurusan Projek dan Kemudahan (BPFM) adalah pilihan tepat buat mereka yang ingin mengikuti pengajian dalam bidang ini tanpa perlu berhenti kerja.

Pengarah program, Azmi Che Leh berkata, meskipun menggabungkan dua bidang dalam satu program, hanya tiga kelas bersemuka perlu dihadiri penuntut pada setiap semester yang diadakan pada hujung minggu.

“Bidang pertama yang diberi tumpuan adalah pengurusan projek di mana ia memfokuskan kerja pembinaan.

“Manakala kedua adalah pengurusan kemudahan yang menekankan fungsi kemudahan sokongan organisasi seperti kelengkapan bangunan, pekerja serta proses perniagaan dan teknologi yang digunakan,” katanya.

Jelas Azmi, menerusi program itu, penuntut didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran menyeluruh mengenai cara menguruskan kemudahan bangunan bermula dari awal proses pembinaan sehinggalah kepada proses penyelenggaraan bangunan yang lebih baik.

“Penuntut dapat membangunkan kemahiran dari segi teori dan praktikal melalui skop kurikulum yang luas. Antara kursus yang ditawarkan termasuk Teknologi Pembinaan, Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Pengurusan Kualiti, Analisis dan Anggaran Kos, serta Ekonomi Kejuruteraan.

“Bagi memudahkan pembelajaran, penuntut juga boleh menggunakan kemudahan perpustakaan digital, mengakses sistem pengurusan pembelajaran myINSPIRE dan berinteraksi bersama tenaga pengajar serta rakan sekuliah secara dalam talian,” katanya.

Azmi berkata, bidang itu dijangka berkembang pesat di Malaysia susulan transformasi industri pembinaan kini antara matlamat nasional yang penting.

Malah kata beliau, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut mengakui keperluan industri pembinaan di negara ini untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi dengan memberi tumpuan kepada aspek kualiti, keselamatan, profesionalisme, kelestarian alam sekitar, produktiviti dan pengantarabangsaan.

“Mereka yang berpengalaman dalam industri pembinaan, tetapi tiada kelayakan bersesuaian tidak perlu risau kerana mereka boleh mendaftar melalui Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).

“Kemasukan melalui APEL adalah laluan alternatif yang membolehkan individu kurang kelayakan akademik yang memiliki pengalaman kerja yang luas untuk belajar di peringkat diploma, sarjana muda mahupun sarjana.

“Melalui APEL, individu yang layak boleh mengemukakan bukti pengalaman kerja terdahulu untuk mendaftar (APEL-A) ataupun mendapatkan kredit (APEL-C).

“Melalui APEL-C, seseorang penuntut boleh memperoleh sehingga 30 peratus kredit, sekali gus memendekkan tempoh pengajian yang turut mengurangkan yuran pengajian,” katanya.

Program yang mendapat kelulusan penuh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) kini mempunyai 700 penuntut aktif dengan sebilangan besarnya adalah warga bekerja.

Ia ditawarkan di 11 pusat pembelajaran di seluruh negara meliputi Shah Alam, Melaka, Johor Bahru, Kuantan, Kuala Terengganu, Kuching, Miri, Bintulu, Kota Kinabalu, Pulau Pinang dan Ipoh. Pengambilan dibuka setiap Januari, Mei dan September.

Klik di sini untuk dapatkan maklumat lanjut mengenai program BPFM.

Recent Posts