ADUN WANITA TERENGGANU DILANTIK PENGARAH AMEERAH MALAYSIA

KUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md. Noor, 39, dilantik sebagai Pengarah Ameerah Malaysia bagi sesi 2019/2021.

Zuraida berkata, amanah yang diberikan untuk mewakili muslimat muda di peringkat nasional merupakan tugasan berat, namun dengan jentera-jentera yang hebat dan saling mendukung di antara satu-sama lain mampu membantunya memimpin sayap Ameerah Malaysia.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dari Open University Malaysia turut mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dewan Muslimat Pas atas kepercayaan serta mandat yang diberikan untuk menerajui kepemimpinan baharu itu.

“Istimewa buat Dewan Muslimat Pas Terengganu dan Ameerah Terengganu, terima kasih kerana sentiasa mentarbiyah dan mengajar saya erti sebuah perjuangan,” katanya dalam catatan di laman Facebook miliknya di sini hari ini.

Zuraida merupakan satu-satunya ADUN wanita negeri ini dan pelantikannya melakar sejarah buat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu kerana buat julung kali kaum hawa diberi penghormatan untuk menggalas peranan tersebut tanpa perlu melalui proses pilihan raya. – UTUSAN ONLINE

By:
08 Julai 2019
Read more at https://www.utusan.com.my/berita/politik/adun-wanita-terengganu-dilantik-pengarah-ameerah-malaysia-1.932776

myOUM
MOOC