Petaling Jaya: Selepas 13 tahun berkhidmat sebagai pembantu setiausaha gred N1, Dr Norliyana Zakaria kini melakar lembaran baharu dalam perjalanan kerjayanya apabila dilantik sebagai pensyarah sepenuh masa.
Norliyana, 37, berkata, langkah itu bermula apabila beliau diberi peluang berkhidmat sebagai pensyarah sambilan di Open University Malaysia (OUM) pada Januari lalu.
Menurutnya, beliau mengendalikan pengajaran bagi program Sarjana dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia di universiti berkenaan.
“Pengalaman mengajar sebagai pensyarah sambilan membuka ruang lebih luas untuk saya meneroka potensi diri dalam bidang akademik.
“Daripada situ, Pengarah Program Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia OUM, Dr Bibi Nabi Ahmad Khan (ketika itu) mencadangkan supaya saya mempertimbangkan peluang untuk menyertai OUM sebagai pensyarah sepenuh masa.
“Saya dipanggil untuk menghadiri temu duga secara dalam talian bersama Dekan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan OUM, Prof Madya Dr Zahir Osman sebelum menghadiri temu duga bersemuka bersama Naib Presiden (Penyelidikan dan Akademik) OUM, Prof Emeritus Datuk Dr Tajudin Ninggal,” katanya ketika ditemui di Menara OUM di Kelana Jaya, di sini, hari ini.
Menurutnya, beliau bersyukur diberikan kepercayaan untuk menyertai OUM sebagai pensyarah sepenuh masa.
“Peluang ini bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam kerjaya saya, malah menjadi platform untuk saya menyumbang ilmu, pengalaman dan kepakaran kepada pembangunan modal insan pada peringkat yang lebih tinggi.
“Alhamdulillah segala urusan dipermudahkan dan saya bersyukur atas peluang yang diberikan,” katanya.
Norliyana yang menetap di Johor Bahru berkata, beliau kini berjauhan sementara dengan suami, Mohd Noor Azam Zaharee, 45, serta dua anak mereka yang masing-masing berusia 13 dan 8 tahun demi merebut peluang kerjaya yang mampu membuka ruang masa depan lebih baik buat keluarga.
“Selepas berbincang dengan suami, beliau memberikan keizinan dan sokongan penuh untuk saya menerima tawaran itu. Saya amat bersyukur kerana keluarga sentiasa menjadi kekuatan terbesar dalam setiap keputusan yang saya ambil.
“Walaupun kami dipisahkan oleh jarak buat sementara waktu, ia tidak pernah menjadi penghalang kepada kasih sayang, komitmen dan matlamat yang kami bina bersama.
“Pengorbanan ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk mencipta peluang lebih baik serta menjamin masa depan keluarga yang lebih cerah.
“Ketika ini, saya menyewa bilik di Damansara Perdana dan akan pulang ke Johor Bahru pada hujung minggu untuk meluangkan masa bersama keluarga,” katanya.
Menurutnya, pelbagai cabaran dan dugaan dilalui sepanjang perjalanan akademik serta kerjaya yang banyak membentuk ketahanan diri dan keyakinannya untuk terus melangkah ke hadapan.
“Sejujurnya, walaupun memiliki kelayakan akademik yang tinggi, saya pernah berdepan pelbagai persepsi dan pandangan negatif kerana memegang jawatan yang dianggap rendah oleh sesetengah pihak.
“Namun, saya memilih untuk menjadikan setiap kritikan sebagai dorongan untuk terus memperbaiki diri dan membuka lebih banyak peluang selaras dengan tahap pendidikan yang saya miliki.
“Malah, kejayaan ini juga adalah sebahagian daripada impian arwah bapa saya, Zakaria Sulaiman, yang sentiasa mahu melihat saya menuntut ilmu sehingga ke peringkat tertinggi dan memiliki ijazah Doktor Falsafah (PhD),” katanya.
Beliau yang juga anak bongsu daripada dua beradik turut menasihatkan generasi muda supaya tidak mudah berputus asa dalam menuntut ilmu dan membina kerjaya.
“Dalam hidup ini tiada jalan yang mudah. Setiap cabaran dan kesukaran dilalui sebenarnya adalah proses mematangkan dan menguatkan diri kita. Jangan pernah berhenti berusaha, terus berdoa dan sentiasa memperbaiki diri.
“Sesukar mana pun cabaran atau kritikan diterima, jadikan ia sebagai pembakar semangat untuk membuktikan bahawa kejayaan mampu dicapai oleh sesiapa sahaja yang sanggup berusaha dan tidak mudah mengalah,” katanya.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan bahawa meskipun bertugas sebagai pembantu setiausaha pejabat gred N1 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Norliyana memiliki kelayakan akademik sehingga ke peringkat PhD.
Sumber:
Nurul Hidayah Bahaudin. (2026, June 7). Dr Norliyana akhirnya dilantik pensyarah sepenuh masa selepas 13 tahun jadi pembantu setiausaha pejabat. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/utama/2026/06/1369053/dr-norliyana-akhirnya-dilantik-pensyarah-sepenuh-masa-selepas-13-tahun-jadi








