Kecekalan dua beradik OKU menuntut ilmu

DUA adik-beradik yang mengalami kecacatan otot sejak lahir tidak menjadikan kekurangan dialami sebagai halangan untuk melanjutkan pengajian ke universiti.

Buktinya, Muhammad Badiuzzaman Khairil , 25 dan Muhammad Syakib Arsallan, 20, dari Kampung Teluk Ira, dekat Temerloh berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Kampus Temerloh sejak tahun lalu.

Muhammad Badiuzzaman mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua) (TESL) manakala adiknya, Muhammad Syakib Arsallan pula Ijazah Sarjana Muda Pengajian Teknologi Maklumat.

Bagaimanapun, hanya Muhammad Syakib Arsallan hadir ke kampus kerana masih mampu berdiri, manakala Muhammad Badiuzzaman mengikuti pengajian secara dalam talian kerana kesukaran bergerak iaitu terpaksa mengengsot dan hanya ke kampus ketika peperiksaan.

Muhammad Badiuzzaman yang juga anak sulung daripada lima beradik berkata, dia mengambil Ijazah Sarjana Muda TESL kerana meminati Bahasa Inggeris sejak sekolah rendah dan mahu menjadi seorang penterjemah pada masa depan.

“Walaupun tidak menghadiri kelas secara fizikal, saya dapat berinteraksi bersama tutor dan rakan di alam maya yang banyak membantu serta memahami kesulitan dialami kerana perlu belajar dari rumah.”

“Saya tidak menganggap ia semua sebagai penghalang sebaliknya menguatkan lagi semangat untuk membalas jasa ibu bapa (Khairil Abdul Rahim, 58 dan Rapeah Rasu, 52) yang banyak berkorban untuk kami,” katanya yang meminati novel Potato People karya Angela Wright.

Bagi Muhammad Syakib Arsallan pula, dia tidak mahu mensia-siakan peluang belajar di OUM dan mahu menjadi pakar IT yang mampu memberi sumbangan kepada kemajuan serta pembangunan negara pada masa depan.

“Dari kecil saya belajar menerima ketentuan dan kekurangan pada diri saya, ia bukan alasan untuk tidak berjaya… ibu bapa, adik beradik serta rakan-rakan banyak memberi sokongan sehingga saya berjaya ke menara gading.

Memang banyak cabaran perlu dilalui tetapi saya sudah biasa dengannya, dahulu ketika di sekolah pun sudah mengalami seperti perlu mengangkat beg berat dengan keadaan saya,” katanya.

Sementara itu, Khairil berkata, mereka sekeluarga berbangga dengan kecekalan dua beradik itu untuk melanjutkan pengajian ke universiti walaupun mengalami kecacatan otot sejak lahir dan semakin kritikal ketika berusia 13 tahun.

“Saya dan isteri akur dengan ujian Allah ini dan berusaha sedaya upaya memberikan yang terbaik buat mereka supaya dapat menjalani kehidupan seperti insan normal lain.

“Dahulu ketika Muhammad Badiuzzaman bersekolah di Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah, kami sanggup menyewa rumah berdekatan sekolah untuk memudahkan mereka, Alhamdulillah dia mendapat keputusan baik iaitu 6A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

sumber:

Roselan Ab Malek
am@hmetro.com.my
myOUM
MOOC