NAK BELAJAR, NAK KERJA, NASIB BAIK OUM ADA

PARA peminat rancangan popular seperti Nasi Lemak Kopi O, Tanyalah Ustaz, Semanis Kurma, Expose Mistik dan Wanita Hari Ini sudah tentu biasa melihat wajah ini di kaca televisyen. Sebagai seorang personaliti televisyen, jadualnya sentiasa padat dengan temubual dan rancangan bual bicara.

Tetapi kerjaya beliau bukan hanya terhad di televisyen. Datuk Seri Mohamad Suhaimi Rohani @ Rozali juga merupakan seorang penceramah bebas, usahawan dan pengamal perubatan alternatif di Pusat Rawatan Islam Darul Ruqiyyah, yang juga miliknya sendiri dan beroperasi di Kedah dan Selangor.

Walaupun sibuk dengan tanggungjawab kerja, Suhaimi masih berpeluang bergelar pelajar siswazah di Open University Malaysia (OUM). Beliau kini sedang mengikuti program Doktor Falsafah (PhD) Sastera, dengan pengkhususan dalam bidang Pengajian Islam. Bagi beliau, pembelajaran adalah satu iltizam sepanjang hayat. Walaupun sudah tiga kali bergraduat, Suhaimi, yang kini berusia 43 tahun, masih berminat mendalami ilmu pengetahuan.

“Saya sudah biasa belajar di OUM. Sebelum ini, saya memperolehi ijazah Sarjana Pengajian Islam. Saya putuskan untuk meneruskan pembelajaran di OUM bagi mempertingkatkan lagi ilmu pengetahuan saya.”

Beliau juga memiliki dua ijazah sarjana muda dalam bidang Syariah dari Universiti Al-Azhar, Mesir, serta dalam bidang Komunikasi dan Bahasa dari Universiti Putra Malaysia. Anak kelahiran Kedah ini telah memulakan pengajian PhD beliau pada September 2015. “Program ini membuka peluang kepada saya untuk lebih mendalami bidang Pengajian Islam. Saya juga dapat membina kemahiran menyelidik,” kata beliau. Kekangan masa merupakan cabaran utama bagi beliau.

Namun, kaedah pembelajaran fleksibel yang diterapkan di OUM banyak membantu. Kata beliau, seorang pelajar separuh masa perlulah bijak membahagikan masa antara kerjaya dan belajar. “Pembelajaran dalam talian sangat membantu kerana saya dapat menumpukan perhatian kepada kerja seharian dan menggunakan sepenuhnya masa hujung minggu untuk menulis dan membuat kaji selidik. OUM memang berbeza dari universiti lain kerana saya boleh belajar tanpa mengetepikan kerjaya saya,” jelas Suhaimi.

OUM mengutamakan pendekatan yang mesra pelajar, lebih-lebih lagi bagi warga kerja yang ingin meningkatkan taraf kelayakan tanpa mengabaikan kerjaya masing-masing. OUM juga menekankan kaedah pembelajaran yang mudah akses, mudah mampu dan fleksibel. Sistem pengurusan pembelajaran atas talian OUM myINSPIRE menyediakan e-modul, e-forum, kuliah berasaskan video serta capaian tanpa had kepada sumber rujukan di perpustakaan digital. Sokongan yang tidak berbelah bagi daripada isteri, Datin Seri Noor Aishah Zainal, serta ahli keluarga lain menjadi tunjang utama Suhaimi untuk berusaha dan memberikan komitmen yang tinggi kepada pembelajaran.

“Pengalaman saya sebagai pelajar OUM amat positif kerana adanya kaedah pembelajaran yang mudah dan praktikal,” ujar beliau. “Saya percaya OUM telah memberi peluang kepada ramai orang seperti saya. Kira bernasib baiklah kami semua kerana OUM ada. “Pensyarah yang berwibawa serta sistem teknologi maklumat yang padu juga antara kelebihan yang ditawarkan di OUM. Semua ini meyakinkan saya untuk terus belajar di sini pada peringkat PhD.

Ternyata ia pilihan yang tepat dan amat bersesuaian dengan kerjaya saya.” Suhaimi berharap lebih ramai lagi dapat mengambil peluang belajar sambil bekerja, sekaligus dapat mempertingkatkan tahap pendidikan masing-masing serta menyumbang kepada usaha Malaysia untuk menuju ke arah status negara maju. Bagi mereka yang ingin belajar sambil bekerja, OUM menawarkan pelbagai program menarik dan relevan. Mudah sahaja untuk kunjungi OUM di 33 pusat pembelajaran seluruh negara.

Mereka yang berminat boleh menghubungi OUM di +603-7801 2000, hantarkan e-mel di enquiries@oum. edu.my atau layari laman web di www. oum.edu.my

myOUM
MOOC