Penajaan Biasiswa Bagi Memperkasa Golongan Wanita

Satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Open University Malaysia (OUM) dan Wanita Berdaya Selangor (WBS) pada 4 Mei 2021 bagi menjalin kolaborasi strategik dalam menggalakkan, membangunkan dan mengukuhkan pelbagai bentuk inisiatif dan kerjasama akademik serta penyelidikan antara kedua-dua belah pihak.

Menerusi MoU berkenaan, kerajaan negeri Selangor menerusi WBS bersetuju untuk menaja seramai 10 orang pelajar wanita bagi menyambung pengajian di OUM di bawah Program Pembelajaran Sepanjang Hayat dengan jumlah tajaan sebanyak RM200,000.

Enam daripada penerima biasiswa bakal mengikuti program diploma manakala selebihnya akan mengikuti program ijazah sarjana muda bagi ambilan Mei 2021.

MoU telah ditandatangani oleh Presiden/Naib Canselor OUM, YBhg Prof Dato’ Dr Mansor Fadzil, dan Ketua Pegawai Eksekutif WBS, Puan Siti Kamariah binti Ahmad Subki.

Majlis yang berlangsung di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam, turut disaksikan oleh Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin bin Shari, dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita & Keluarga Negeri Selangor, YB Dr Siti Mariah binti Mahmud.

Penajaan biasiswa tersebut telah diilhamkan oleh WBS pada tahun 2020 bagi merealisasikan Dasar Wanita Selangor bagi memperkasa wanita menerusi tiga teras utama iaitu Badan Pemikir, Pembinaan Kapasiti dan Program Pemberdayaan Wanita. WBS berhasrat untuk terus menyokong pembangunan para wanita dalam pelbagai sektor ekonomi, sosial, pendidikan dan budaya yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

Kerjasama antara OUM dan WBS dilihat mampu menjadi pemangkin dalam usaha membangunkan kemahiran dan intelektual ahli WBS dan seterusnya memartabatkan golongan wanita untuk lebih berdaya saing serta mampu menguasai pelbagai bidang ilmu termasuk perniagaan, pengurusan, sains gunaan, pendidikan dan sains sosial.