DUNIA telah benar-benar dalam talian. Membeli-belah dalam talian telah menjadi kebiasaan untuk semua peringkat umur dan latar belakang, kerana ia menawarkan kemudahan dan keselesaan bagi membolehkan orang ramai menikmati lebih banyak masa berkualiti bersama keluarga.

Tiada lagi situasi di mana seseorang itu harus berhadapan dengan cuaca yang tidak menentu, masalah lalu lintas dan tempat letak kereta yang tidak dapat diramal hanya untuk membeli keperluan harian. Pada masa kini, segala-galanya boleh dilakukan secara dalam talian hanya dengan menggunakan telefon pintar atau komputer.

Begitu juga dengan pembelajaran. Dengan adanya kemajuan teknologi dalam pendidikan, kita kini boleh belajar dengan mudah dan selesa di rumah masing-masing.

Open University Malaysia (OUM) telah memanfaatkan revolusi teknologi dalam pembelajaran dan pengajaran dengan memperkenalkan kaedah yang melangkaui pembelajaran teradun, yang mana interaksi bersemuka antara pelajar dan fasilitator serta rakan sepengajian dapat berlaku secara langsung dalam talian.

Bagi semester Mei tahun ini, dua program, iaitu Sarjana Pengajian Islam (MIST) dan Sarjana Pendidikan Awal Kanak-kanak (MECHE), akan ditawarkan melalui pendekatan baru ini.

Mod penyampaian yang inovatif memerlukan pelajar menyertai lapan jam forum secara langsung pada setiap semester. Mengambil konsep yang serupa dengan webinar, forum secara langsung ini dapat menggantikan komponen bersemuka yang ditawarkan dalam mod pembelajaran teradun. Selain forum secara langsung, pelajar juga mempunyai akses kepada e-forum, yang turut menyokong mod interaksi asinkroni.

Walaupun pelajar dalam talian tidak menghadiri kelas atau kuliah secara fizikal, mereka akan dibekalkan dengan segala-gala yang diperlukan untuk belajar secara berdikari, termasuk sumber multimedia yang kaya seperti e-modul, video kuliah, sumber perpustakaan digital dan forum perbincangan. Semasa mengikuti pengajian, pelajar boleh menguji pengetahuan mereka melalui penilaian kendiri.

Para pelajar akan dibimbing dengan sebaiknya melalui pelan pengajaran yang akan memastikan kerja kursus dan tugasan dapat diserahkan tepat pada waktunya. Apa yang paling mustahak ialah ini akan memastikan bahawa pelajar cukup bersedia dan benar-benar dapat menghayati kandungan kursus apabila tiba waktu peperiksaan.

Para e-tutor yang dilantik untuk mengendalikan program ini akan memastikan para pelajar tidak merasai kekurangan sepanjang pengajian mereka. Dipilih dari sekumpulan ahli akademik dan pakar industri, para e-tutor akan membantu dan membimbing pelajar mencapai hasil pembelajaran serta menyokong pelajar supaya tetap bermotivasi dan komited sepanjang program pengajian mereka.

Platform e-pembelajaran OUM myINSPIRE juga memainkan peranan dalam pendekatan ini melalui penyediaan akses sepanjang masa bagi mendapatkan sumber dan perkhidmatan sokongan. Sistem ini ditambahbaik secara berterusan bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang mesra pelajar dan kaya dengan pelbagai bahan kandungan pembelajaran.

Melalui myINSPIRE, pelajar dijamin dapat mengalami pengalaman dan akses pembelajaran dalam talian yang sejati dan fleksibel yang akan membolehkan mereka belajar tanpa menjejaskan tanggungjawab profesional atau peribadi mereka.

MIST dan MECHE dibuka untuk pendaftaran kepada pelajar yang mendaftar bagi pengambilan Mei. Mereka yang memilih mod dalam talian layak mendapat rebat sebanyak 15% daripada yuran sedia ada. Ini bermakna mereka akan membayar yuran yang lebih rendah berbanding pelajar yang memilih mod teradun.

Lazimnya, soalan yang sering ditanya orang adalah: Bolehkah seseorang pelajar itu belajar dengan lebih baik tanpa berjumpa dengan pensyarah atau rakan sekelas?

Kajian telah menunjukkan bahawa pembelajaran dalam talian adalah tidak kurang keberkesanannya berbanding pembelajaran berasaskan kelas. Dalam sebuah artikel yang diterbitkan dalam The CPA Journal pada tahun 2017, para penyelidik Amerika telah mendedahkan bahawa pelajar-pelajar dalam talian belajar sama seperti mereka yang berada dalam persekitaran konvensional. Mustahaknya, kajian lain mencadangkan bahawa pelajar dalam talian juga boleh mempamerkan prestasi yang lebih baik kerana mereka berupaya untuk berdikari dalam pelajaran mereka.

Bagi mereka yang atas pelbagai sebab tidak boleh mengikuti program yang memerlukan interaksi secara bersemuka, mod melangkaui pembelajaran teradun OUM memberikan mereka peluang untuk memperoleh ijazah pada bila-bila masa, di mana sahaja dan menggunakan apa sahaja peranti.

Sama ada anda gemar belajar di mana-mana sahaja, tinggal di kawasan terpencil atau anda pelajar yang suka berdikari, pembelajaran dalam talian boleh menjadikan pendidikan tinggi suatu realiti. Untuk melakukannya, anda tidak perlu melangkah keluar dari rumah, kecuali apabila tiba hari peperiksaan!

Recent Posts