OUM Dan Pejabat Penerangan Daerah Tawau Menganjurkan Program Mengorak Langkah Seirama, Menggapai Impian Bersama, Merdeka@ Komuniti keluarga Malaysia Sempena Bulan Kemerdekaan di Tawau

Open University Malaysia (OUM) Pusat Pembelajaran Tawau dan Pejabat Penerangan Daerah Tawau telah menganjurkan program Mengorak Langkah Seirama, Menggapai Impian Bersama, Merdeka @Komuniti keluarga Malaysia sempena bulan kemerdekaan pada 27 Ogos 2022 di Kampung Batu Payung, Tawau Sabah. Program ini juga mendapat kerjasama daripada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Cawangan Tawau, Kolej Tingkatan Enam Tawau, SMK Kinabutan,Tentera Laut Diraja Malaysia Cawangan Tawau, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Cawangan Tawau, Polis Diraja Malaysia Cawangan Tawau, Majlis Perbandaran Tawau, Tawau Trash Buster Squad, CYC Holdings Sdn Bhd, Regimen 516 Askar Wataniah, dan masyarakat Kampung Batu Payung, Kampung Tinagat dan Kampung Membalua.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah yang juga merangkap ADUN N68 Apas Tawau, YB Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan. Turut hadir di majlis ini ialah Timbalan Pengurus Besar (Usaha Niaga) OUM, Prof Madya Dr Yon Rosli Daud.

Beliau melihat penganjuran program seperti ini dapat menyemai semangat kerjasama dan kepimpinan selain memupuk semangat kecintaan kepada negara dengan memulihara alam sekitar khususnya dalam kalangan belia di Tawau. Antara aktiviti yang dijalankan ialah gotong-royong membersihkan kawasan Batu Gajah.

“OUM komited merancang lebih banyak program tangungjawap sosial korporat melalui 35 Pusat Pembelajarannya di seluruh negara. Inisiatif ini perlu berterusan bagi memupuk semangat kerja berpasukan dan hubungan baik antara warga Universiti dan komuniti setempat pada jangka masa panjang. Secara tidak langsung ia akan mewujudkan persekitaran dan budaya kejiranan yang positif.” kata Prof Madya Dr Yon Rosli Daud.

OUM juga berhasrat ingin menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan Kerajaan Negeri bagi memperkasa pendidikan melalui pembelajaran terbuka dan jarak jauh (ODL). Ia penting bagi merapatkan jurang pendidikan antara penduduk di bandar dan luar bandar. Dengan adanya ODL, pelajar boleh mengikuti pembelajaran secara maya di mana-mana sahaja. Sehubungan itu kerjasama dengan Kerajaan Negeri dapat memberi peluang bukan sahaja kepada warga kota malah penduduk luar bandar untuk memiliki Sijil-sijil Kemahiran, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah.

 

myOUM
MOOC