PROF BANDUAN

KAJANG: “Pengalaman belajar di dalam penjara amat mencabar. Kami sukar mendapatkan bahan rujukan, kekurangan buku teks dan alat tulis.

“Namun itu tidak mematahkan semangat kami untuk terus berusaha menimba ilmu dan memperbaiki diri,” kata Adam (bukan nama sebenar) 30-an.

Adam yang memasuki Penjara Kajang ketika berusia 14 tahun kerana membunuh berkata, dia kini sedang menyiapkan tesisnya dalam bidang doktor falsafah (PhD).

Menurut Adam, dia yang berstatus Banduan Limpah Sultan (BLS) hanya berkelulusan darjah enam sebelum memasuki penjara.

“Saya mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2006 dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 2008. Pada ketika itu tidak ada guru yang mengajar kami, namun akhirnya Jabatan Penjara Malaysia melantik beberapa banduan dewasa untuk mengajar kami.

“Tak pernah terlintas di fikiran bahawa saya dapat melanjutkan pelajaran sehingga ke universiti dan pada 2009 saya antara penghuni terawal menerima surat tawaran untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dan antara 10 penghuni menerima biasiswa bersyarat daripada Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada OUM kerana merealisasikan moto mereka iaitu ‘Universiti untuk Semua’ dan menerima kami sebagai pelajar tanpa mengira status dan latar belakang seseorang terutama penghuni seperti kami,” katanya ketika ditemui.

Adam yang kini dilantik JPM sebagai tenaga pengajar dalam penjara berkata, dia berjaya memperoleh segulung ijazah sarjana muda pada 2014 dan ijazah sarjana pada 2017.

Katanya, pada awal tahun lalu, dia menerima surat tawaran belajar PhD daripada OUM dan paling menggembirakannya apabila OUM bermurah hati menawarkan biasiswa 90 peratus daripada keseluruhan jumlah yuran pengajiannya.

“Daripada seorang yang boleh dikatakan buta huruf menjadi seorang daripada perintis kepada kewujudan sekolah-sekolah integriti (SI) dan pusat pengajian tinggi dalam penjara, saya tak dapat huraikan dengan kata-kata.

“Saya menghargai usaha Jabatan Penjara Malaysia (JPM), OUM dan mereka yang terbabit secara langsung atau tidak langsung kerana memberikan peluang kedua kepada kami dalam Program Pemulihan Berbentuk Pendidikan seperti mana Program Pengajian Tinggi ini,” katanya.

Adam yang turut menerima tawaran sebagai pensyarah daripada JPM, OUM dan Kementerian Dalam Negeri berharap program pendidikan di penjara diteruskan dengan penambahbaikan termasuk daripada segi penempatan, pengurusan, selain penyediaan dana pengajian kepada penghuni yang tidak berkemampuan tetapi berminat melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.

“Bagi penghuni saya berharap tidak mempersiakan peluang dan kepercayaan diberikan JPM dan OUM. Sentiasa ikuti peraturan, berdisplin, menjadi contoh dan ikutan yang baik untuk banduan yang lain.

“Mari kita bersama-sama memastikan program pengajian ini dapat melahirkan insan cemerlang, berkualiti, berakhlak dan mampu berdaya saing seperti insan lain di luar sana.

“Walaupun saya tidak tahu bila saya dibebaskan, ia tidak melunturkan semangat untuk terus memperbaiki diri dan menimba ilmu dalam penjara dan berdoa satu hari nanti ada pihak membantu mendapat pengampunan sultan,” katanya.

Adam berkata, program pemulihan melalui pendidikan tinggi itu bukan hanya memberi ilmu, malah memulihkan penghuni ke arah kebaikan termasuk mampu mengawal perasaan, berfikiran positif dan terbuka menerima pendapat serta pandangan masyarakat.

Oleh:
Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019

https://www.hmetro.com.my/utama/2019/04/449520/prof-banduan

myOUM
MOOC