SEMINAR DEDAH TEKNIK DIDIKAN AWAL KANAK-KANAK

KUANTAN: Seminar Cinta Hibur Didik telah memberi pendedahan penting serta terkini dalam pendidikan dan perkembangan awal kanak-kanak pada program yang diadakan di Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Putra Square, di sini kelmarin.

Turut menyertai program anjuran bersama Totalbiomedic Gym & Fitnezz Studio dan Maahad Tahfiz Inklusif Faqeh ini adalah PASTI Al-Hikmah, PASTI Al-Fatah, PASTI Al-Hilmi dan PASTI Ar-Rahman serta Sekolah Rendah Integrasi Tahfiz Islam Indera Sempurna (SRITIS).

Pembentangan dalam program ini merangkumi slot BrainFitnezz iaitu pergerakan yang merangsang perkembangan otak disampaikan oleh Dr Zuraimay Zainuddin dan slot Inovasi Terapi Alami dan Quranis oleh Pengetua Maahad Tahfiz Inklusif Faqeh, Ustazah Nor Aziah Daud.

Ustazah Aziah dalam pembentangannya mengenai Terapi Quranis atau Ruqyah itu menekankan kepentingan menjaga hati dan kebergantungan kepada Allah, manakala Terapi Alami adalah perkongsian mengenai pendekatan menangani kanak-kanak istimewa.

Sementara slot Riang Ria Abjad oleh penerima Anugerah Inovasi Guru 2008, Anita Othman menunjukkan bentuk huruf kecil di awal pembelajaran yang diperkenalkan secara nyanyian dalam menarik minat belajar kalangan kanak-kanak pra-sekolah.

Menurut Pengerusi Majlis Guru PASTI Kawasan Kuantan, Ustazah Asnaliah Nahrawi, pendedahan tersebut penting kepada guru-guru terutama untuk menyantuni anak-anak istimewa seperti autisme di pra sekolah atau sekolah kendalian mereka.

Sumber: https://www.harakahdaily.net/index.php/berita/12551-seminar-dedah-teknik-didikan-awal-kanak-kanak

myOUM
MOOC