Siri Jelajah Sambutan Hari Raya Kumpulan METEOR Disambut Meriah di Semua Zon Negeri

METEOR Sdn Bhd, syarikat pegangan bagi Open University Malaysia (OUM) telah menganjurkan Siri Jelajah “Raya Kembali” daripada 20 Mei hingga 11 Jun 2022 di semua zon seluruh negara.

Siri Jelajah sambutan hari raya ini dimulai dengan Zon Tengah pada 17 Mei di Sime Darby Convention Centre, diikuti dengan Zon Sarawak pada 20 Mei di Hilton Kuching, Zon Sabah pada 22 Mei di Marriott Kota Kinabalu, Zon Utara pada 7 Jun di Hotel G Kelawai Pulau Pinang, Zon Pantai Timur pada 9 Jun di IBIS Kota Bharu dan Zon Selatan pada 11 Jun di Double Tree Melaka.

Tema “Raya Kembali” dipilih kerana sejak negara dilanda pandemik Covid-19, Kumpulan METEOR tidak berpeluang menganjurkan apa-apa majlis bagi mematuhi prosedur Perintah Kawalan Pergerakan. Namun kemeriahan Hari Raya pada tahun ini dapat dikembalikan setelah Negara memasuki fasa endemik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan METEOR, Encik Muhammad Afiq Redzuan, majlis ini dianjurkan sebagai tanda terima kasih kepada semua kakitangan yang sentiasa menyokong Kumpulan METEOR dan OUM. Ia juga dilihat dapat mengeratkan silaturrahim antara kakitangan dan Pengurusan Utama Kumpulan METEOR dan OUM.

“Majlis sosial seperti ini penting bagi memupuk semangat kerja berpasukan dan hubungan kekeluargaan antara kakitangan. Secara tidak langsung ia akan mewujudkan persekitaran dan budaya kerja yang positif.” kata Presiden/Naib Canselor OUM, Prof Madya Dr Ahmad Izanee Awang.

Pusat Pembelajaran OUM disaran untuk menjalinkan kerjasama erat dengan kerajaan negeri masing-masing bagi menawarkan pendidikan berkualiti untuk semua lapisan masyarakat. Pembelajaran sepanjang hayat dilihat dapat memperkasakan kemahiran penduduk setempat seterusnya meningkatkan taraf ekonomi masing-masing. Fleksibiliti sistem pembelajaran terbuka dan jarak jauh yang diamalkan oum juga mampu mempermudahkan proses pembelajaran.

Kumpulan METEOR ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua tetamu, rakan media dan kakitangan yang telah hadir ke Majlis Sambutan Hari Raya untuk tahun ini.

Zon Utara

Zon Tengah

Zon Sarawak

Zon Sabah

Zon Pantai Timur

Zon Selatan

myOUM
MOOC