TM ONE TAWAR INTERNET HARGA BERPATUTAN KEPADA PELAJAR, KAKITANGAN OUM

TM ONE menawarkan pakej Unifi Mobile korporat kepada kakitangan dan pelajar Universiti Terbuka Malaysia (OUM) pada harga RM59 sebulan.

Tawaran tersebut dibuat selepas pihaknya memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan universiti berkenaan bagi mewujudkan perjalanan transformasi digital untuk kampus OUM di Kuala Lumpur.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif TM ONE, Ahmad Taufek Omar berkata, MoU bertujuan menyediakan dan melaksanakan empat kluster inisiatif transformasi digital kepada OUM meliputi sambungan mudah alih menerusi pakej Unifi Mobile kepada pelajar dan kakitangan pentadbiran.

Di samping itu, beliau berkata, perjanjian juga melibatkan penyelesaian perkhidmatan pintar Smart Campus Management, penyelesaian ICT yang boleh diubah menerusi perkhidmatan awan TM dan prasarana kolaborasi TM ONE untuk penyelesaian komunikasi bersepadu kepada pengurusan dan pelajar OUM.

“Penyelesaian ini membolehkan OUM mengoptimumkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan penggunaan tenaganya.

“Kami harap ia dapat menggalakkan lebih banyak penglibatan dan interaksi antara komuniti kampus OUM selain menawarkan pelajar dan pengunjung dengan pengalaman yang dipertingkatkan di OUM,” katanya menerusi kenyataan akhbar.

TM ONE merupakan unit rumusan perniagaan perusahaan dan sektor awam bagi Telekom Malaysia Berhad (TM).

Sementara itu, Presiden yang juga Naib Canselor OUM, Prof Datuk Dr Mansor berkata, kolaborasi berkenaan menawarkan banyak faedah, terutamanya kepada pelajar dan kakitangan di 33 pusat pembelajaran OUM di seluruh negara.

“Memandangkan kebanyakan sesi pembelajaran berlangsung secara online, pelan Unifi Mobile ditawarkan pada kadar yang berpatutan memudahkan pelajar untuk mengakses bahan kursus, berinteraksi dengan pembimbing dan rakan serta menyemak pembelajaran mereka menerusi sistem pengurusan pembelajaran, myINSPIRE tanpa perlu risau tentang ketersediaan WiFi, di mana sahaja mereka berada,” katanya.

OLEH: NOOR AZURA SAHRIL
Berita penuh dipetik dari : https://www.bisnessinar.com/tm-one-tawar-internet-harga-berpatutan-kepada-pelajar-kakitangan-oum/

myOUM
MOOC