TOK WAN SUMBER INSPIRASI ANAK-ANAK MUDA

KISAH seorang nenek memiliki 38 cicit berjaya menggenggam segulung ijazah membuka mata hati Merak Kayangan bahawa di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Wan Zainun Wan Abd Manan, 87, yang berasal dari Kuala Terengganu dan merupakan bekas pendidik menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam pada Majlis Konvokesyen ke-23 Universiti Terbuka Malaysia (OUM) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini kelmarin.

Berkerusi roda ketika hadir untuk menerima ijazahnya, semangat dan nekad Tok Wan ini sepatutnya menjadi contoh serta tauladan kepada generasi muda dalam konteks menuntut ilmu khususnya.

Tiada istilah expired atau tarikh luput dalam mencari ilmu. Baik ilmu duniawi mahupun ilmu akhirat. Selagi nafas belum terhenti, selagi umur masih ada dan selagi mata tidak tertutup selamanya, selagi itulah kita mesti menuntut ilmu.

Kisah Tok Wan ini Merak Kayangan akan pastikan dibaca, direnungi dan dihayati oleh anak-anak Merak Kayangan yang masih remaja.

Pastinya bukan sedikit onak ranjau yang perlu ditempuhi Tok Wan dalam mengecapi kejayaan itu. Faktor usia, tenaga dan kesihatan mungkin antara halangan yang perlu dihadapi Tok Wan. Tapi bak kata pepatah hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Tok Wan sudah buktikan sesiapa yang selalu hidup dengan beralasan tidak akan berjaya.

Jika warga emas seperti Tok Wan tidak mengalah untuk mencari nilai tambah dalam sisa-sisa kehidupan beliau, apakah alasan kita lagi untuk tidak mempergunakan usia muda memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan diri.Jadi nasihat Merak

Kayangan kepada diri sendiri, anak-anak dan juga generasi baharu, mari kita gunakan kesempatan yang ada ini untuk terus memperkukuhkan kekuatan luaran dan dalaman.

Terima kasih Tok Wan kerana menjadi sumber inspirasi untuk kami!

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/48930/Pojok/Tok-Wan-sumber-inspirasi-anak-anak-muda

myOUM
MOOC