SUBANG JAYA: “Orang tanya kenapa saya suka belajar dan tidak cukupkah pencapaian akademik, status serta kerjaya dimiliki kini, jawapan saya lagi tinggi saya menuntut ilmu, lebih banyak pengetahuan, semakin besar potensi menggapai kejayaan hidup,” kata Dr Soo Wincci.

Selebriti dan ratu cantik Miss World Malaysia 2008 itu berkata, secara peribadi, beliau melihat pendidikan memainkan peranan penting dalam membuka peluang kepada individu untuk meneroka bidang diminati dan diceburi dengan lebih jauh.

Katanya, ilmu bermanfaat diperoleh melalui pendidikan mampu meningkatkan keupayaan diri, potensi dan kemahiran individu untuk menggapai impian.

“Dalam kemajuan dunia sekarang, terutama membabitkan perkembangan pasaran kerjaya, pengalaman harus diadun bersama pendidikan yang baik bagi memudahkan individu bersaing, terutama di peringkat antarabangsa.

“Justeru, seseorang itu perlu sentiasa berusaha meningkatkan tahap pengetahuan mereka dari semasa ke semasa, termasuk menuntut ilmu ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Apresiasi Pelajar 2019 Kolej Tingkatan Enam Petaling Jaya (KTEPJ) di sini, semalam.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sijil graduasi kepada pelajar semester akhir kolej terbabit.

Selain memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari University of Reading, United Kingdom, Soo Wincci memperoleh tiga sarjana, iaitu Sarjana Pentadbiran Perniagaan (University of Sunshine Coast, Australia); Sarjana Produksi Muzik, Teknologi dan Inovasi (Berklee Valencia, Sepanyol) dan Sarjana Fellowship Live Music Production (Berklee Valencia, Sepanyol).

Anak kelahiran Selangor itu juga berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pentadbiran Perniagaan di Universiti Terbuka Malaysia, sekali gus melakar kejayaan tersendiri apabila memperoleh lima ijazah berkenaan dalam tempoh 15 tahun.

Lebih membanggakan, beliau mencipta rekod Malaysia apabila menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai Most Number of Academic Degrees Obtained by A Beauty Queen dan Most Number of Academic Degrees Obtained by a Recording Artist.

Soo berkata, generasi muda perlu mengambil peluang atas perubahan sistem pendidikan yang semakin maju kini untuk menuntut ilmu sebaik mungkin dan menggapai kejayaan lebih tinggi.

Cabaran dunia kini, katanya, menyaksikan persaingan sengit dalam pelbagai aspek, jadi individu perlu bijak mencari peluang untuk mencipta pasaran dan menempatkan diri, terutama melalui pengetahuan meluas dimiliki.

“Memanglah belajar menuntut pengorbanan, tetapi kita perlu tabah, berani, berdikari, berusaha dan memperbaiki kemampuan sendiri.

“Jika orang menganggap paras rupa penentu kelayakan mereka berjaya dalam hidup sampai bila-bila, saya melihat keadaan itu berbeza kerana kecantikan akan pudar, tetapi ilmu dimiliki kekal selamanya untuk membantu individu tetap bertahan,” katanya yang kini melanjutkan pengajian PhD kedua dalam bidang Produksi Artistik di University of Polytechnic, Sepanyol.

sumber: https://www.bharian.com.my/