Kumpulan METEOR dan OUM Agih Bubur Lambuk Sempena Bulan Ramadan

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan METEOR, En Muhammad Afiq Redzuan beramah mesra dan mengedar bubur lambuk kepada kakitangan Kumpulan METEOR dan OUM di Menara OUM

Ramadan dipilih Allah SWT sebagai bulan yang difardukan padanya ibadat puasa. Kelebihan seseorang yang memberi makan dan minum kepada orang yang berpuasa telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurang sedikit pun.” Riwayat Al-Tirmizi (807)

Bagi mengambil berkat bulan Ramadan, Kumpulan METEOR dan Open University Malaysia (OUM) telah mengagihkan sebanyak 750 bekas bubur lambuk kepada warga kerja OUM dan komuniti sekitar Kelana Centre Point pada 14 April 2022. Tradisi agihan bubur lambuk ini merupakan acara tahunan bagi pengisian bulan Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan METEOR, Encik Muhammad Afiq Redzuan berkata “Kami berharap aktiviti seperti ini dapat memupuk semangat kerjasama dan berkongsi rezeki dalam kalangan warga kumpulan METEOR. Secara tidak langsung ia dapat menerap sifat empati dan simpati dalam diri bagi melahirkan warga kerja yang prihatin.  Acara tahunan ini terhenti selama dua tahun akibat pandemik Covid 19 dan kami bersyukur tradisi ini dapat diteruskan pada tahun ini.”

En Muhammad Afiq menyantuni anak-anak Madrasah Tahfiz Jamiul Uluum yang hadir di Majlis Iftar dan Solat Tarawih di Menara OUM

Dalam perkembangan lain, Kumpulan METEOR dan OUM turut menganjurkan Majlis Iftar dan Solat Tarawih di Menara OUM pada 21 April 2022. Antara pengisian di majlis ini ialah Tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh penceramah bebas, Dr Zaharudin Abd Rahman, penyampaian sumbangan kepada Pondok Jamiul Uluum dan agihan duit raya kepada anak-anak Madrasah Tahfiz Jamiul Uluum yang hadir pada majlis tersebut.

Marilah kita sama-sama menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT atas rezeki dan kesempatan untuk kita menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. Kumpulan METEOR dan OUM ingin mengucapkan Salam Lebaran kepada semua kakitangan, pelajar dan seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam.

 

myOUM
MOOC