OUM Komited Bantu Saudara Baharu di Sarawak

Pengarah Pusat Pembelajaran Kuching, Puan Hamimah Kipli menerima penghargaan daripada HCFS di Majlis Program Sumbangan Berbuka Puasa Bersama Saudara Baharu

Open University Malaysia (OUM) telah menyumbang RM10,000 kepada Hidayah Centre Foundation Sarawak (HCFS) bagi menjayakan Program Sumbangan Berbuka Puasa Bersama Saudara Baharu.

Menurut Pengarah Pusat Pembelajaran Kuching, Puan Hamimah Kipli, OUM kini giat melaksanakan aktiviti Tanggungjawap Sosial Korporatnya dan sumbangan kepada HCFS adalah salah satu tanda sokongan kepada aktiviti kebajikan di Sarawak. Ianya selari dengan saranan Presiden/Naib Canselor OUM, Prof Madya Dr Ahmad Izanee Awang bagi melahirkan warga OUM yang prihatin.

Program yang telah diadakan pada 17 April 2022 di Dewan Majma Mall Kuching ini turut menampilkan kumpulan Hijjaz sebagai artis jemputan. Di samping menyantuni saudara baharu melalui aktiviti berbuka puasa, HDFS juga akan mengagihkan dana bantuan kebajikan sepanjang bulan Ramadan ini. Pertubuhan ini mensasarkan sumbangan sebanyak RM100,000 melalui penglibatan sektor awam dan swasta bagi menyokong usaha memberi pendidikan dan pemerkasaan kepada saudara baharu di Sarawak.

HCFS merupakan pusat sokongan kepada saudara baharu melalui penganjuran program-program bimbingan kearah menjadi muslim yang sempurna. Hingga kini, pertubuhan ini telah menyantuni seramai 500 saudara baharu di sekitar Sarawak.

 

myOUM
MOOC