Malaysia Urban Forum 2022: Isu Pendidikan dalam Perancangan Bandar

Pendidikan adalah satu keperluan dalam masyarakat dan isu pendidikan sentiasa mendapat perhatian dalam proses perancangan bandar. Open University Malaysia (OUM) telah dijemput untuk menyertai sesi meja bulat di Malaysia Urban Forum 2022 pada 17 Oktober 2022 di Pusat Konvensyen MBSA.

Lapan panelis telah membincangkan topik “Learning for and from the City” dimana mereka melihat isu pendidikan di bandar melalui dua sudut pandang iaitu (1) Pendidikan untuk semua; menuju ke arah sistem pendidikan yang mudah dicapai dan mampu milik dan (2) Pengaruh pembelajaran tidak formal di bandar.

Presiden/Naib Canselor, Prof Madya Dr Ahmad Izanee Awang turut berkongsi pengalaman OUM dalam meningkatkan capaian program akademik kepada semua golongan; iaitu pelajar yang terdiri daripada lepasan sekolah, profesional, separa profesional, banduan, suri rumah hingga kepada warga emas.

“Pasca pandemik ini, kita perlu menerima hakikat bahawa kaedah pembelajaran sudah mula berubah dan sistem pendidikan dalam talian mula diterima oleh semua golongan. Didorong dengan kemajuan sistem teknologi maklumat dan komunikasi, sepatutnya pendidikan mudah dicapai dan tiada lagi golongan akan tercicir tidak kira di bandar besar atau di kawasan pendalaman” ujar beliau.

Sesi ini turut menyentuh isu golongan yang terpinggir walaupun negara sudah mempunyai kemampuan untuk menyediakan sistem pendidikan bertaraf dunia. Antaranya ialah kemampuan golongan B40 membeli peralatan sokongan pembelajaran dalam talian dan khidmat sokongan pendidikan bagi golongan kelainan upaya. Oleh itu penglibatan semua pihak diperlukan bagi memastikan tiada golongan yang akan tercicir dalam pendidikan tidak kira secara formal atau tidak formal.

Antara panel yang turut serta ialah Pengarah Kewangan dan Operasi, Teach for Malaysia: Haafiz Nordin, Timbalan Dekan Fakulti Seni Bina, Perancangan & Ukur UiTM: Datin Prof Sr Dr Hamimah Adnan, Ketua Unit Muzik DBKL: Isabella Pak, Mantan Ahli Parlimen Lembah Pantai: Ahmad Fahmi Mohamed Fadzli, Pengarah Think City: Daniel Lim, Presiden Majlis Perbandaran Klang: Hajah Noraini Roslan dan Pengarah Eksekutif Joe Sidek Production: Joe Sidek.

Turut menjadi moderator pada sesi ini ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan METEOR Sdn Bhd, Nurul Maisara Md Isa.

myOUM
MOOC