MENUNTUT ILMU DI USIA EMAS

Oleh: Robiah Mohd Yusof

Walaupun umur saya sudah menjangkau 62 tahun, sejak kecil lagi saya bercita-cita untuk sampai ke menara gading.

Namun begitu, hasrat itu tidak dapat dilaksanakan kerana banyak kekangan. Antaranya, perkahwinan saya di usia muda. Hasilnya, saya meneruskan kehidupan berumah tangga dan mengajar di sekolah agama. Di samping itu, saya menjalankan perniagaan menjual barangan perhiasan wanita dan produk kesihatan.

Saya juga banyak menghadiri kursus dan seminar badan-badan bukan kerajaan. Tetapi diri saya masih mencari-cari tempat yang sesuai untuk orang dewasa menimba ilmu.

Bila anak-anak semua sudah bekerja dan ada yang sudah berumahtangga, semangat untuk sambung belajar membara kembali. Sayugia, saya telah berjaya dalam Sijil Pelajaran Malaysia dan memiliki sijil KAFA yang lengkap.

Suatu hari, semasa bersiar-siar di bandar Alor Setar, saya ternampak banner yang tertera, “Pengambilan pelajar baharu OUM semester Januari 2019 untuk warga kerja dan warga emas!”

Saya terus masuk ke dalam bangunan OUM  untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Cara penerangan yang ramah dan jelas menarik hati saya untuk mendaftar sebagai pelajar program Diploma Pengajian Islam dengan Pendidikan. Maka bermulalah hidup baharu yang saya impikan selama ini.

Pada hari pertama di dalam bulan Februari tahun lepas, saya menghadiri bengkel kemahiran belajar serta bengkel penulisan tugasan. Di sinilah kali pertama saya belajar menggunakan komputer.

Dengan tunjuk ajar staf Pusat Pembelajaran Alor Setar, Kedah & Perlis, saya dapat menggunakan MyINSPIRE dengan penuh yakin. Terima kasih atas tunjuk ajar dan sokongan dari Pengarah dan staf pusat pembelajaran.

Sekarang, saya sudah berada di semester 4. Insya Allah, saya berazam untuk menamatkan pengajian dengan berjaya.

 

myOUM
MOOC