Akauntabiliti pandu Muslim lebih bertakwa, sedia ‘bekalan’ akhirat

Perlu diakui, pandemik COVID-19 menjadi pengalaman hitam dalam sejarah peradaban manusia pada zaman moden ini. Bagi golongan muda, terutama yang belum pernah menghadapi situasi darurat mengancam nyawa, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan serangan COVID-19 amat membekas dalam diri, apalagi jika dijangkiti atau ada dalam keluarga atau kenalan dijemput Ilahi.

Jika diimbau kembali, tempoh kritikal ketika PKP seperti mustahil untuk dilalui kerana manusia menempuhi situasi darurat, terkurung dan pergerakan sangat terbatas.

Hakikatnya, satu pengajaran besar mengharungi ujian pandemik ini ialah sejauh manakah manusia, terutama Muslim bersedia untuk menempuh ujian sebelum kedatangannya?

Jika diteliti panduan kehidupan bernaung di bawah syariat Islam, pelbagai pesanan dapat kita petik sebagai renungan. Sebagai contoh, Rasulullah SAW berpesan mengenai
persediaan untuk menghadapi kematian.

Kematian menjadi ketakutan semua orang kerana tiada siapa tahu bila saat ketibaannya. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kamu kepada Tuhan-mu sebelum kamu mati. Segeralah untuk melakukan amal soleh sebelum masa kamu disibukkan dengan urusan dan pekerjaan” (HR Ibnu Majah)

Hadis ini menyeru setiap manusia apatah lagi Muslim untuk sentiasa bertaubat dengan istighfar kerana hakikatnya, pada bila-bila masa sahaja nyawanya akan dicabut malaikat
Izrail.

Taubat dan muhasabah diri secara konsisten adalah pedoman kepada persediaan menghadapi kematian, namun ia menjadi sukar kerana hakikat kehidupan manusia yang
sangat rencam dan mencabar.

Daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara: Masa mudamu sebelum datang masa tuamu, masa sihatmu sebelum sakitmu, masa kayamu sebelum datangnya masa sempitmu (miskin), masa lapangmu sebelum tiba masa sibukmu dan masa hidupmu sebelum tiba masa matimu.” (HR Hakim dan Baihaqi)

Muslim perlu bersiap siaga

Hadis ini sangat praktikal dalam menggambarkan kesiapsiagaan seorang Muslim yang faham akan sifat kehidupannya. Bermaksud, manusia akan ada fasa sibuk, sakit, sempit, tua dan kematian. Semua suasana cabaran cuba digambarkan ini patut menjadi panduan bagi orang berfikir dan faham akan hakikat kehidupan.

Hadis ini bukan sahaja peringatan mengenai cabaran bakal dihadapi manusia di dunia, tetapi sikap seorang mukmin terhadap situasi bakal mendatang dalam hidupnya di dunia.

Jujurnya, hadis ini menyeru setiap Muslim supaya sentiasa bersedia untuk menghadapi apa juga situasi dan ujian hidup. Seperti kata pepatah Melayu, ‘sediakan payung sebelum
hujan’.

Apabila berbicara mengenai kesiapsiagaan, semuanya bermula dengan kefahaman benar mengenai hakikat kehidupan manusia yang sifatnya ‘baharu’ , iaitu tidak kekal.

Ramai menyangka, tidak kekal atau sementara kehidupan manusia ini adalah kekurangan dan kelemahan bagi manusia, sebaliknya sifat sementara ini adalah kelebihan dan keuntungan daripada Yang Maha Pencipta.

Bayangkan jika masalah kita hadapi bersifat kekal atau penyakit dihidapi bersifat kekal, sudah pasti kehidupan manusia akan menjadi sukar dan rumit.

Kemuncak keadilan kemanusiaan ialah Allah SWT meletakkan sesuatu tanggungjawab itu
kepada manusia atas apa yang individu itu pilih dan dilakukan di dunia.

Pengajaran demi pengajaran diulang dalam al-quran betapa pentingnya memikirkan implikasi sesuatu tindakan, seperti dinyatakan al-quran bermaksud: “Itulah umat lalu.
Baginya apa yang mereka usahakan dan bagimu apa yang kamu usahakan. Kamu tidak akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang mereka kerjakan.” (Surah albaqarah; ayat 134)

Kalimah tanggungjawab atau akauntabiliti ini pada sudut bahasanya membawa makna berat, apatah lagi jika ditafsirkan dalam alam realiti tindakan manusia.

Sikap tak bertanggungjawab bawa kehancuran

Banyak masalah timbul di dunia ini disebabkan sikap manusia tidak bertanggungjawab. Dalam situasi apa pun, jika ada kekurangan pada sikap tanggungjawab, maka kehancuran dan kebinasaan bakal terjadi.

Banyak negara dan kerajaan mengalami ‘kerosakan’ akibat pemimpin khianat dan tidak bertanggungjawab. Tidak kurang juga institusi keluarga runtuh ketika ahlinya tidak
bertanggungjawab dan memilih untuk bertindak tanpa berfikir serta gagal menimbang baik buruk setiap tindakan mereka.

Mendepani cabaran ini, Allah SWT menyeru orang beriman supaya pada bertakwa dalam setiap tindak-tanduknya seharian. Allah SWT berfirman bermaksud: “Bersedialah dengan
bekalan kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa. Bertakwalah kepada-ku wahai orang mempunyai akal sihat.” (Surah al-baqarah; ayat 197)

Ayat ini mengingatkan kita mengenai ‘bekalan’ sangat penting dalam kehidupan, iaitu takwa. Dalam ayat ini, sifat takwa digandingkan dengan panggilan mereka ‘mempunyai
akal sihat sejahtera’. Gandingan ini cukup kuat membuktikan peri pentingnya penggunaan akal dalam bertindak.

Maknanya, tindakan didasari takwa dan dipandu dengan pertimbangan akal sejahtera sangat dituntut dalam Islam. Takwa menjadi ‘dinamo’ atau punca kuasa menghidupkan
hubungan Muslim dengan Pencipta.

Sama ada bekalan itu demi menjalani kehidupan untuk akhirat atau untuk bekalan kehidupan dunia, takwa sering kali menjadi benteng dan pengawal tingkah dan laku
manusia.

Oleh yang demikian, takwa menjadi pemandu kepada manusia sama ada hubungannya dengan Pencipta, dengan diri sendiri atau sesama manusia.

Sumber: Berita Harian

myOUM
MOOC